19/05/2026
LAWATAN DAN SESI TEMUBUAL RTM IPOH KE STAc ADTEC TAIPING
19 Mei 2026 | Bahagian Semiconductor Technology Academy (STAc), ADTEC JTM Kampus Taiping telah menerima lawatan dan sesi temubual daripada pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ipoh bersempena Program Akademi Dalam Industri (ADI) yang dilaksanakan di kampus ini.
Lawatan ini bertujuan mendapatkan perkongsian berkaitan pelaksanaan program latihan berteraskan industri khususnya dalam bidang semikonduktor yang semakin mendapat perhatian sebagai sektor strategik negara. Sesi temubual menampilkan Pengarah ADTEC JTM Kampus Taiping, Tuan Haji Jamil bin Yahya serta Ketua Bahagian STAc, En. Jamal bin Jurait yang berkongsi pandangan mengenai pembangunan bakat TVET, kerjasama industri dan hala tuju latihan teknologi semikonduktor di ADTEC Taiping.
Selain itu, wakil RTM Ipoh turut diberi peluang untuk membuat liputan secara langsung di makmal pemprosesan mikroelektronik STAc bagi melihat sendiri kemudahan latihan, teknologi yang digunakan serta proses pembelajaran berkaitan industri semikonduktor yang dijalankan di ADTEC JTM Kampus Taiping.
Turut diketengahkan dalam sesi liputan ini ialah penglibatan perantis daripada syarikat Infineon Technologies (Kulim) Sdn. Bhd. yang sedang mengikuti latihan di bawah Program Akademi Dalam Industri (ADI) di STAc. Para perantis berpeluang menjalani latihan secara hands-on dalam bidang pemprosesan dan teknologi semikonduktor selaras dengan keperluan industri semasa. Program ini bukan sahaja meningkatkan kompetensi teknikal peserta, malah memberi pendedahan awal kepada budaya kerja industri sebenar.
Program Akademi Dalam Industri (ADI) merupakan inisiatif strategik yang memberi pendedahan secara langsung kepada peserta melalui latihan berorientasikan industri, teknologi semasa serta kerjasama bersama pemain industri berkaitan.
Kehadiran pihak RTM Ipoh ini juga menjadi platform terbaik dalam mempromosikan peranan ADTEC JTM Kampus Taiping sebagai pusat latihan TVET yang aktif memperkasakan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi khususnya dalam bidang teknologi semikonduktor.
๐๐๐ข๐ฅ๐๐ง๐ ๐๐จ๐ ๐๐๐ข๐๐๐๐ง๐๐ฃ, ๐๐๐ฃ๐ฎ๐๐ข๐๐ง๐๐ ๐ ๐๐ฃ ๐๐๐จ๐ ๐๐๐๐๐ฅ๐๐ฃ
Follow Us at
Facebook | Instagram | Youtube | Tiktok : ADTEC JTM Kampus Taiping