14/03/2026
BAYAR SAMAN AwAS MELALUI APLIKASI MyJPJ
SHAH ALAM, 13 Mac 2026 - Bermula 18 Mac 2026, saman AwAS yang telah dikenakan tindakan senarai hitam boleh diselesaikan melalui bayaran saman secara terus di platform aplikasi MyJPJ.
Menurut YBhg. Dato’ Aedy Fadly bin Ramli, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, status senarai hitam akan dinyahaktifkan secara automatik dalam sistem JPJ sebaik sahaja pembayaran berjaya dilakukan.
“Orang ramai boleh memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) tanpa perlu hadir ke kaunter JPJ, sekali gus menjimatkan masa dan mempercepatkan urusan berkaitan”, katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA), di Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam, Selangor, malam tadi.
Hadir sama YBhg. Datuk Jazmanie bin Shafawi, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi), YBhg. Dato’ Muhammad Kifli bin Ma Hassan, Pengarah Kanan Penguatkuasa, YBrs. Tuan Ir. Mohd Yusop bin Mohamad , Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif, YBrs. Tuan Azhar bin Manap, Pengarah Bahagian Korporat & Perancangan Strategik, YBrs. Tuan Azrin bin Borhan, Pengarah JPJ Negeri Selangor serta Pegawai - Pegawai Kanan.