08/11/2024
ECRL: Penembusan Terowong Gombak selesai sebulan awal
PUTRAJAYA: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merekodkan pencapaian membanggakan apabila berjaya mencapai penembusan Terowong Gombak sepanjang 959 meter, sebulan lebih awal daripada jadual ditetapkan.
Kejayaan itu menjadikan terowong ECRL yang ke-36 selesai kerja pengorekan setakat ini dengan letupan terakhir menembusi penghadang terakhir kira-kira 38 meter dari pintu masuk terowong.
Pencapaian itu adalah hasil keseluruhan kira-kira 5,813,560 jam tenaga kerja dengan menggunakan kaedah gerudi dan letup yang menembusi kebanyakannya granit lapuk (weathered granite).
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata penembusan Terowong Gombak membuktikan teknologi pengorekan terowong yang maju serta dedikasi padu dalam kalangan pasukan ECRL.
Katanya, pencapaian itu akan mendorong pengorekan baki terowong ECRL untuk diselesaikan dalam tempoh jangka masa yang ditetapkan.
"Penembusan Terowong ECRL Gombak menandakan satu lagi pencapaian dalam kemajuan projek ini, kerana ia merupakan komponen penting untuk menyiapkan jajaran ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor menjelang Disember 2026.
"Kami optimis untuk memulakan pengoperasian ECRL dari Januari 2027 selaras dengan aspirasi rakyat dan komuniti perniagaan dengan menyediakan pengangkutan yang lancar untuk penumpang dan kargo," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Majlis perasmian penembusan terowong itu disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah serta Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), Kong Qi, berkata penembusan Terowong Gombak adalah satu pencapaian penting dan mencerminkan dedikasi serta kepakaran seluruh pasukan.
"Pencapaian ini menekankan komitmen kami untuk menggunakan teknologi terowong yang maju serta memupuk kerjasama yang kukuh antara semua pihak berkepentingan.
"Kami fokus untuk mengekalkan momentum ini bagi menyediakan pengangkutan yang selamat, boleh dipercayai dan efisien," katanya.
Terowong terbabit mempunyai purata ketinggian 12 meter dan kelebaran 13 meter, sekali gus menyediakan ruang untuk landasan berkembar tolok standard apabila siap kelak.
Kerja pengorekan untuk Terowong Gombak dimulakan pada Jun 2023 dan dijadualkan selesai pada suku keempat tahun ini.
Semua kerja sivil berkaitan Terowong Gombak dijangka siap menjelang Mac 2025.
Pembinaan terowong ini akan membolehkan landasan kereta api ECRL mematuhi kecerunan maksimum 0.9 peratus serta mengurangkan penebangan hutan terbuka yang ketara di kawasan Batu 11 Gombak.
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim - Oktober 29, 2024 @ 5:19pm
[email protected]