02/02/2026
Berita Komuniti |
PUNCAK ALAM, 1 Feb —
Lebih 300 penduduk membanjiri kawasan Fasa 1 Bandar Puncak Alam seawal jam 7.30 pagi bagi memeriahkan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun penubuhan kawasan tersebut hari ini.
Fasa 1 Puncak Alam yang mula dibuka pada Disember 1999 dahulunya dikelilingi ladang kelapa sawit dan hanya dihubungkan melalui jalan dari Sungai Buloh serta Meru, kini berkembang pesat sebagai antara penempatan utama di daerah Kuala Selangor.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kesihatan, Y. Bhg. Tn. Hj. Mohd Faisal Ismail. Turut hadir Pengerusi 4PA Tn. Hj. Hanif, Timbalan Pengerusi 4PA En. Nasha, wakil MPKS En. Azhari serta pengerusi dari Fasa 2 dan Puncak Bestari.
Majlis penutup p**a disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Dato’ Harrison.
Dalam ucapannya, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Fasa 1 (JKPF1), En. Azhar bin Abdullah berkata sambutan Jubli Perak ini bukan sekadar meraikan tempoh 25 tahun, tetapi sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan dan pengorbanan penduduk sejak tahun 1999.
“Dahulu kawasan ini hanya dikelilingi ladang kelapa sawit dengan kemudahan yang amat terhad. Hari ini, Fasa 1 Puncak Alam telah berkembang menjadi komuniti yang harmoni, aktif dan saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan jawatankuasa, sukarelawan serta seluruh penduduk yang berganding bahu menjayakan program berkenaan.
“Semangat kejiranan inilah kekuatan kita selama 25 tahun. Saya berharap perpaduan ini terus diperkukuhkan demi kesejahteraan generasi akan datang,” tambah beliau.
Pelbagai acara komuniti diadakan sepanjang program termasuk senamrobik, pertandingan mewarna kanak-kanak dan dewasa, bola tampar, sepak takraw, bola jaring, sepak penalti, congkak serta tarik tali.
Sebanyak 24 hadiah cabutan bertuah turut disediakan kepada pengunjung, antaranya barangan elektrik, basikal serta pakej percutian tiga hari dua malam ke Cameron Highlands.
Program yang berakhir pada jam 1.20 tengah hari itu mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama erat dalam kalangan penduduk setempat sepanjang 25 tahun pembangunan Fasa 1 Puncak Alam.