07/02/2023
Jadi, apakah cara terbaik untuk meningkatkan skor kredit?
1. Kemas Kini Maklumat Peribadi Anda
Maklumat peribadi tentunya penting semasa anda mengambil apa-apa sahaja pembiayaan atau mengambil apa-apa komitmen kewangan termasuklah kad kredit dan juga bil telefon.
Jangan lupa untuk mengemas kini maklumat alamat anda serta syarikat tempat anda bekerja sekiranya anda berpindah.
Pastikan agensi laporan kredit mempunyai maklumat yang tepat dan terkini. Sekiranya maklumat yang berada di dalam sistem adalah tidak tepat, pihak bank mungkin akan menbuatkan permohonan pembiayaan anda ditolak.
2. Langsaikan Hutang
Kalau anda mempunyai beban pembiayaan yang terlalu tinggi, pihak bank tidak akan meluluskan permohonan anda. Jadi, sangat penting untuk anda menguruskan hutang-hutang anda dengan sistematik.
Jika anda menghadapi kesukaran untuk menguruskan hutang yang bertimbun ini, boleh menghubungi pihak bank bagi mengatur dan mengubah jadual pembayaran hutang anda itu.
Jangan risau, pihak bank pasti akan membantu sedaya-upaya mereka supaya anda dapat melunaskan pinjaman anda. Sekiranya anda masih berasa sukar untuk serta tidak tahu cara terbaik untuk menguruskan kewangan anda ini, anda boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
3. Bayar Bil Tepat Pada Masanya
Anda memang tak pernah lupa untuk membayar bil-bil anda, tetapi masalahnya anda selalu bayar lewat. Kalau anda jenis seperti ini, ubah sikap anda hari ini juga. Ini akan merosakkan skor kredit anda.
Institusi kewangan akan melihat anda sebagai seorang pelanggan yang tidak berdisiplin dan komited dalam membuat bayaran balik pinjaman. Ia juga menjadi bukti bahawa tidak dapat mengawal kewangan anda dengan baik.
Jadi, mulai hari ini, tulis di dalam diari atau set alarm, atau lebih senang lagi setkan pembayaran automatik melalui akaun online supaya anda tidak akan terlepas tarikh pembayaran setiap kali dapat gaji.
4. Periksa Perkongsian Bayaran
Bagi pasangan yang sudah berkahwin, lebih baik sekiranya anda tidak berkongsi dalam membuat bayaran bil dan juga supplementary credit card.
Jika anda atau pasangan terlewat membuat bayaran, ia pasti akan menjejaskan skor kredit masing-masing.
Kalau boleh, asingkan pembayaran ini kerana anda dapat mengawal skor kredit anda dengan lebih baik. Ia juga boleh mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari.
5. Bina Sejarah Kredit Sendiri
Ada sesetengah orang tidak mempunyai sejarah skor kredit langsung. Anda mungkin nampak macam ini lebih lebih baik kerana tidak ada bukti seseorang tersebut berhutang.
Tetapi sebenarnya, ia memberikan pandangan negatif kepada agensi penarafan kredit.
Apa kata kalau anda gunakan kad kredit dan nikmati segala kelebihan yang ditawarkan? Tapi, satu sahaja kami nak pesan.
Gunakan dengan berhati-hati dan jangan sampai terjerat dengan hutang bertimbun p**a.
Apa yang paling penting, cuba untuk lunaskan hutang-hutang anda sebelum akhir bulan untuk mengelakkan skor kredit yang buruk. Kunci utamanya adalah pengurusan kewangan yang baik.
Jika anda mempunyai banyak hutang, tetapi anda berjaya menguruskan kesemua hutang ini dengan baik tanpa perlu menahan lapar, pasti ia tidak akan memberikan kesan yang buruk kepada skor kredit anda.