08/06/2026
PROGRAM GERAK MESRA DAN 3S (SEJAHTERA, SEGAR DAN SELAMAT) ZON AHLI MAJLIS, BANDAR JEMENTAH DAN BUKIT JEMENTAH SEMPENA HARI DENGGI ASEAN TAHUN 2026 | 08 JUN 2026 | ISNIN
Pada hari ini telah berlangsung Program Gerak Mesra dan 3S (Sejahtera, Segar dan Selamat) Zon Ahli Majlis Bandar Jementah dan Bukit Jementah Sempena Hari Denggi ASEAN Tahun 2026 yang diadakan di perkarangan Dewan Taman Pelangi, Jementah.
Program ini dianjurkan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya wabak denggi serta memperkukuhkan penglibatan komuniti dalam usaha pencegahan dan kawalan pembiakan nyamuk Aedes. Selain itu, program ini turut menjadi platform untuk mempererat hubungan antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan penduduk setempat.
Program dimulakan dengan penyampaian Taklimat Pencegahan dan Kawalan Wabak Denggi Sempena Hari Denggi ASEAN Tahun 2026 oleh Dr. Choo Teck Min, Pegawai Perubatan merangkap wakil rasmi Pegawai Kesihatan Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah Segamat. Taklimat tersebut memberi penekanan kepada langkah-langkah pencegahan denggi, penghapusan tempat pembiakan nyamuk Aedes serta peranan masyarakat dalam memastikan kawasan kediaman sentiasa bersih dan bebas daripada risiko penularan penyakit.
Program seterusnya diserikan dengan kehadiran YBhg. Encik Mohd Fazle bin Mohd Yusop, Setiausaha Majlis Perbandaran Segamat yang diiringi oleh Puan Hajah Binti Mohamad, Ahli Majlis Bukit Jementah, Encik See Ann Giap, Ahli Majlis Bandar Jementah serta Encik Sahrul bin Sidek, Penghulu Mukim Jementah.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Puan Hajah Binti Mohamad, Ahli Majlis Bukit Jementah. Seterusnya, YBhg. Encik Mohd Fazle bin Mohd Yusop, Setiausaha Majlis Perbandaran Segamat, telah menyampaikan ucapan perasmian dan seterusnya merasmikan Sambutan Hari Denggi ASEAN Tahun 2026 Peringkat Daerah Segamat.
Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik turut diadakan sepanjang program bagi menarik penyertaan masyarakat setempat. Antaranya ialah Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak yang diselaraskan oleh KEMAS, selain pembukaan Kaunter Pemeriksaan Kesihatan Percuma oleh Pejabat Kesihatan Daerah Segamat.
Majlis Perbandaran Segamat turut menyediakan beberapa kaunter perkhidmatan kepada orang ramai termasuk Kaunter Semakan dan Bayaran Kompaun, Kaunter Semakan Cukai Taksiran serta Kaunter Lesen.
Turut hadir memeriahkan program ialah Encik Khairullah bin Daud, Ketua Kampung Paya Jakas, Encik Pong Yow Ngo, Ketua Masyarakat Cina, wakil-wakil ketua jabatan daerah, barisan Ahli Majlis, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua unit Majlis Perbandaran Segamat serta penduduk sekitar Bandar Jementah dan Bukit Jementah.
Penganjuran program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran, mengamalkan langkah pencegahan denggi secara berterusan serta memperkukuhkan semangat kerjasama antara agensi dan komuniti dalam merealisasikan persekitaran yang lebih sejahtera, segar dan selamat.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor