Jom Belajar 01

Jom Belajar 01 Contact information, map and directions, contact form, opening hours, services, ratings, photos, videos and announcements from Jom Belajar 01, Investing Service, 1402 1 Jalan Puchong Batu 6 1/2 Kuala Lumpur, Putrajaya.

Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dalam keadaan Indeks Dolar AS (DXY) yang ...
18/04/2025

Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dalam keadaan Indeks Dolar AS (DXY) yang menyusut, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4100/4160 daripada dolar AS, menokok daripada 4.4200/4265 semasa ditutup pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata DXY meneruskan trajektori menurun pada sekitar 99 mata hari ini.

"Belum dapat dipastikan sama ada DXY akan kekal pada paras serendah itu meskipun terdapat ketidaktentuan yang kian meningkat mengenai tarif import oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS)," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, dolar AS akan meningkat memandangkan peniaga akan beralih kepada mata wang selamat untuk berlindung daripada risiko pasaran.

"Kesemua enam komponen DXY meningkat berbanding dolar AS terutamanya yen Jepun dan pound Britain, masing-masing menokok 0.77 peratus dan 0.61 peratus kepada 142.44 yen dan 1.32 pound bagi setiap dolar AS.

"Dolar AS-ringgit dilihat sedang menguji paras psikologi 4.40 dan kini bergerak pada sekitar 4.40, dengan sesi dagangan pagi ini menyaksikan dolar AS-ringgit mencecah 4.43," katanya.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit telah meraih semula momentum dan pulih daripada penurunan pada sepanjang sesi dagangan.

Beliau berkata, prestasi positif ini menjejaki sentimen risiko yang lebih luas susulan penangguhan tarif teknologi selama 90 hari oleh Presiden AS, Donald Trump.

"Penangguhan ini telah memberi dan menunjukkan keyakinan terhadap sektor teknologi Malaysia yang sedang bangkit semula," kata beliau.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0811/0855 daripada 3.0952/1000, naik berbanding euro kepada 5.0199/0267 daripada 5.0207/0281 tetapi menurun berbanding pound Britain kepada 5.8097/8176 daripada 5.7849/7934.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 262.6/263.2 daripada 263.1/263.6, naik berbanding baht Thailand kepada 13.1481/1754 daripada 13.1599/1902 dan menambah berbanding peso Filipina kepada 7.72/7.74 daripada 7.75/7.77.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu diniagakan rendah sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.3506/3556 daripiada 3.3495/3549 sebelum ini..

Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, dipacu aktiviti belian saham semasa harga rendah yang berterusan dan sentimen le...
18/04/2025

Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, dipacu aktiviti belian saham semasa harga rendah yang berterusan dan sentimen lebih baik di seluruh pasaran serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 26.10 mata kepada paras tertinggi harian 1,480.86 daripada 1,454.76 ketika ditutup pada Jumaat lalu.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 798 berbanding 248, manakala 359 kaunter tidak berubah, 978 tidak diniagakan dan sembilan digantung.

Jumlah dagangan melonjak kepada 2.99 bilion unit bernilai RM2.06 bilion berbanding 2.80 bilion unit bernilai RM2.46 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI ditutup lebih tinggi apabila aktiviti belian saham semasa harga rendah berlanjutan berikutan penjualan baru-baru ini.

"Pasaran ekuiti serantau juga meningkat, disebabkan tahap kebimbangan pelabur semakin berkurangan selepas pentadbiran Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pengecualian tarif buat sementara waktu ke atas import elektronik dari China yang meningkatkan saham berkaitan teknologi," katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Pak Leng berkata pengecualian tarif itu dilihat sebagai meredakan keadaan untuk jangka pendek.

"Namun begitu, pelabur nampaknya membuat andaian untuk ketidaktentuan jangka pendek ini, menjangkakan bahawa rundingan berterusan akan menghasilkan terma yang lebih menguntungkan," tambahnya.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata kejatuhan pasaran tempatan mungkin berakhir minggu lalu.

"Bagaimanapun, momentum menaik yang berterusan akan bergantung pada kejelasan dalam rundingan perdagangan AS-China dan perkembangan selanjutnya dalam dasar monetari global," katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional meningkat 16.0 sen kepada RM13.38, Maybank dan Public Bank menambah 7.0 sen masing-masing kepada RM9.89 dan RM4.31, CIMB Group melonjak 8.0 sen kepada RM6.73, bagaimanapun IHH Healthcare turun 2.0 sen kepada RM6.78.

Dalam kalangan saham aktif, MY EG Services dan T7 Global melonjak 2.5 sen masing-masing kepada 92.5 sen dan 28.5 sen, Ekovest naik 4.0 sen kepada 32.5 sen, Inari Amertron menokok 12.0 sen kepada RM1.78, manakala NationGate menambah 2.0 sen kepada RM1.25.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 189.68 mata kepada 10,999.76, Indeks FBMT 100 meningkat 183.44 mata kepada 10,785.11, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 214.63 mata kepada 10,819.54, Indeks FBM 70 menokok 237.22 mata kepada 15,503.15 dan Indeks FBM ACE menambah 112.55 mata kepada 4,524.74.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 220.62 mata kepada 17,755.15, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 4.06 mata kepada 143.49, Indeks Tenaga menokok 7.32 mata kepada 656.06 manakala Indeks Perladangan melonjak 147.80 mata mata kepada 7,210.33.

Jumlah dagangan pasaran utama tidak berubah pada 1.44 bilion unit bernilai RM1.81 bilion berbanding 1.44 bilion unit bernilai RM2.25 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 1.23 bilion unit bernilai RM141.70 juta daripada 969.44 juta unit bernilai RM96.46 juta sebelum itu.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 312.55 juta unit bernilai RM107.20 juta berbanding 382.27 juta unit bernilai RM117.12 juta sebelum itu.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 150.30 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (212.03 juta), pembinaan (134.27 juta), teknologi (281.57 juta), S**C (sifar), perkhidmatan kewangan (89.56 juta), hartanah (190.51 juta), perladangan (25.11 juta), REIT (9.82 juta), dana tertutup (68,500), tenaga (178.39 juta), penjagaan kesihatan (65.51 juta), telekomunikasi dan media (26.47 juta), pengangkutan dan logistik (20.11 juta), utiliti (60.01 juta), dan amanah perniagaan (6,900 juta).

KPJ Healthcare Bhd hari ini melancarkan Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor (KPJKS), hospital ke-30 dalam rangkaian KPJ se...
18/04/2025

KPJ Healthcare Bhd hari ini melancarkan Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor (KPJKS), hospital ke-30 dalam rangkaian KPJ sekali gus mengukuhkan komitmen untuk memperluas akses penjagaan kesihatan pakar swasta kepada komuniti di lokasi yang sedang pesat membangun, khususnya di luar bandar utama.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan, berkata hospital yang mula beroperasi pada 22 Mac lalu menawarkan perkhidmatan kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk perubatan dalaman, pembedahan am, ortopedik, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, ENT (telinga, hidung dan tekak), oftalmologi, radiologi, anestesiologi, gastroenterologi dan hepatologi.

"Hospital ini beroperasi dengan 14 doktor pakar perunding residen dan lapan pakar perunding sessional, disokong oleh pasukan seramai 188 orang yang terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat, profesional kesihatan bersekutu serta kakitangan sokongan," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran hospital berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dr Ismail Bakar.

Keat Chyuan berkata, kemudahan ini yang mempunyai kapasiti 60 katil turut dilengkapi infrastruktur diagnostik dan rawatan terkini, termasuk MRI 1.5 Tesla, CT Scanner 160-slice, mamografi digital full-field serta Super Inductive System (SIS) untuk terapi pengurusan kesakitan tidak invasif menggunakan medan elektromagnet berintensiti tinggi.

Beliau berkata, antara kemudahan utama lain termasuk empat katil ICU, dua bilik pembedahan yang lengkap, sebuah bilik skop serta katil khas untuk rawatan harian.

Sementara itu, Dzulkefly yang merasmikan majlis pelancaran itu menyambut baik pembukaan kemudahan penjagaan kesihatan berkenaan kerana ia boleh melengkapi Hospital Tanjong Karang yang terletak lapan kilometer dari KPJKS memandangkan kedua-dua hospital memainkan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.

"Seperti yang ditahui, kita mempunyai Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) dan saya dapat lihat teknologi terkini serta canggih yang terdapat di sini.

"Dalam pandangan saya, kita dapat manfaatkan kemudahan ini melalui kerjasama atau sinergi yang membolehkan kita mengakses kemudahan ini bagi menyelesaikan isu masa menunggu yang lama di hospital kerajaan, khususnya di Hospital Tanjong Karang yang merupakan hospital pakar minor," katanya.

Dzulkefly berkata, KPJKS dijangka dapat memenuhi keperluan bukan sahaja penduduk di daerah Kuala Selangor, malah hingga ke daerah Muallim di Perak sekiranya diperlukan.

Direka dengan mengambil kira aspek penjagaan dan praktikal, KPJKS menawarkan persekitaran penyembuhan moden yang dilengkapi dengan rekaan dalaman yang teliti serta suasana semula jadi, memastikan pesakit dan pasukan perubatan berasa selesa selari dengan kecemerlangan klinikal.

KPJKS mencerminkan hala tuju baharu Kumpulan di bawah KPJ Health System, iaitu pendekatan bersepadu yang menggabungkan penjagaan klinikal, pendidikan perubatan dan kecemerlangan penyelidikan dalam rangkaian KPJ Healthcare di seluruh negara.

OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Malaysia) menerajui penerbitan bon berkaitan kelestarian pertama untuk DKSH Holdings (Mal...
18/04/2025

OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Malaysia) menerajui penerbitan bon berkaitan kelestarian pertama untuk DKSH Holdings (Malaysia) Bhd (DKSH Malaysia), melalui anak syarikatnya, DKSH Malaysia Sdn Bhd.

-Advertisement-
Skip
Ads by
Penerbitan nota jangka pertengahan (MTN) bernilai RM300 juta itu dibuat di bawah Program Kertas Komersial dan MTN baharu yang berjumlah keseluruhan RM800 juta.

OCBC Malaysia bertindak sebagai penasihat utama, pengatur utama, pengurus utama serta penasihat penstrukturan kelestarian dan ejen kemudahan untuk program ini.

Kumpulan Maybank melancarkan Maybank Global Access, penyelesaian inovatif yang menyepadukan akaun pelbagai mata wang pat...
18/04/2025

Kumpulan Maybank melancarkan Maybank Global Access, penyelesaian inovatif yang menyepadukan akaun pelbagai mata wang patuh Syariah, Maybank Global Access Account-i dengan kad debit Mastercard World pertama seumpamanya di Malaysia, Kad Debit Mastercard World Maybank Global Access.

Kumpulan perbankan itu dalam satu kenyataan berkata, Maybank Global Access adalah pilihan mudah untuk pengembara global dengan pelanggan sedia ada Maybank boleh memohon akaun ini dalam hanya beberapa minit menerusi aplikasi MAE, tanpa dokumentasi atau lawatan ke cawangan, dan hanya dengan deposit minimum RM50.

"Satu akaun ini menyokong 18 mata wang dan menawarkan kadar keuntungan bonus yang menarik bagi mata wang terpilih, termasuk ringgit, menjadikannya yang pertama dalam kalangan akaun pelbagai mata wang di negara ini yang menyediakan ciri unik ini.

Pelabur asing meneruskan jualan bersih mereka dalam pasaran Asia untuk minggu kedua berturut-turut, dengan jumlah aliran...
18/04/2025

Pelabur asing meneruskan jualan bersih mereka dalam pasaran Asia untuk minggu kedua berturut-turut, dengan jumlah aliran keluar sebanyak AS$5.87 bilion diterajui oleh jualan yang tinggi di Korea Selatan dan India.

Menurut Laporan Aliran Dana MIDF Amanah Investment Bank Bhd pada minggu berakhir 11 April 2025, Korea Selatan mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi di rantau ini sebanyak AS$2.95 bilion, menjadikan pengeluaran dana minggu ketiga berturut-turut.

Sehubungan itu, Korea Selatan mengumumkan langkah sokongan segera termasuk pengurangan cukai dan subsidi untuk membantu sektor automotifnya menghadapi tarif baharu Amerika Syarikat (AS) sebanyak 25 peratus ke atas import kenderaan.

Katanya, dengan hampir separuh daripada eksport automotif dihantar ke AS, kerajaan mengingatkan mengenai impaknya dan berjanji akan berunding dengan Washington selain meninjau pasaran baharu.

Menurut MIDF Amanah, India turut mencatatkan aliran keluar yang ketara untuk minggu kedua berturut-turut, dengan jualan asing bersih sebanyak AS$2.47 bilion.

Ini berdasarkan pengumuman perjanjian perdagangan dengan AS dalam perubahan dasar tarif, dengan Menteri Luar Jaishankar menyatakan bahawa rundingan kini dijalankan dengan 'tahap keutamaan yang tinggi'.

Sementara itu, Indonesia mencatatkan aliran keluar asing bersih sebanyak AS$350.1 juta susulan pembukaan semula pasarannya selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sektor minyak sawit negara itu menggesa kerajaan mengurangkan cukai eksport dan levi sebagai respons kepada taris balas sebanyak 32 peratus yang dikenakan oleh AS, dijangka mengurangkan harga yang diterima oleh pekebun sehingga 3.0 peratus.

Dalam pasaran serantau, katanya hanya Taiwan mencatatkan aliran masuk asing bersih berjumlah AS$519 juta.

"Taiwan meneruskan larangan terhadap jualan singkat selama seminggu lagi untuk menstabilkan pasaran selepas turun naik berkaitan tarif AS. Walaupun terdapat petunjuk keyakinan pelabur meningkat, ketidaktentuan global masih berterusan.

"Pihak berkuasa menyatakan langkah-langkah itu membantu mengekang spekulasi dan dana penstabilan sebanyak AS$15.0 bilion telah diaktifkan, dengan pasaran masih mencatatkan penurunan sebanyak 15 peratus tahun ini," katanya.

Di peringkat domestik, katanya pelabur asing meneruskan jualan mereka di Bursa Malaysia untuk minggu ke-25 berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM1.97 bilion.

Hanya dua sektor yang menyaksikan aliran masuk asing bersih iaitu produk dan perkhidmatan pengguna (RM5.3 juta) serta telekomunikasi dan media (RM4.4 juta).

Sektor yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM1.36 bilion), utiliti (RM136.5 juta) dan pembinaan (RM107.9 juta).

"Institusi tempatan terus mengimbangi jualan asing, mencatatkan belian bersih untuk minggu ke-25 berturut-turut, dengan aliran masuk berjumlah RM1.93 bilion.

"Pelabur runcit tempatan turut mencatatkan belian bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan aliran masuk sebanyak RM43.7 juta," katanya.

Menurut MIDF Amanah, purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyaksikan peningkatan secara menyeluruh, dengan pelabur asing, institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan. masing-masing mencatatkan kenaikan sebanyak 54.7 peratus, 120.9 peratus dan 87.5 peratus.

Kerjaya Prospek Group Bhd memperoleh kontrak bernilai RM291.43 juta untuk kerja-kerja pembinaan di Pulau Andaman, Pulau ...
11/04/2025

Kerjaya Prospek Group Bhd memperoleh kontrak bernilai RM291.43 juta untuk kerja-kerja pembinaan di Pulau Andaman, Pulau Pinang.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, firma pembinaan itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, menerima surat anugerah daripada Persada Mentari Sdn Bhd (PMSB) untuk melaksana dan menyiapkan apartmen perkhidmatan 50 tingkat dengan 516 unit, termasuk tempat letak kereta dan kemudahan.

PMSB ialah anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Bhd (E&O), menjadikan kontrak ini sebagai transaksi pihak berkaitan yang berulang.

Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas dan pemegang saham utama Kerjaya Prospek, Datuk Seri Tee Eng Ho, juga adalah Pengerusi Eksekutif dan pemegang saham utama E&O.

Belliau memegang 67.64 peratus kepentingan dalam Kerjaya Prospek dan 58.26 peratus kepentingan dalam E&O.

Adiknya, Datuk Tee Eng Seng, adalah Pengarah Eksekutif dan pemegang saham utama kedua-dua syarikat.

Kerja-kerja dijangka bermula pada 23 Jun, dengan siap dalam tempoh 38 bulan, demikian menurut Kerjaya Prospek.

Ini menandakan kontrak keempat Kerjaya Prospek yang berjaya diperolehi sejak awal tahun, menjadikan buku pesanan tertunggaknya kepada lebih RM4.6 bilion.

Kumpulan itu menjangkakan kontrak ini menjana pendapatan tambahan dalam tempoh tiga tahun akan datang, mengukuhkan lagi buku pesanannya.

Pasaran saham utama Asia merudum hari ini susulan kebimbangan yang memuncak dalam kalangan pelabur terhadap kemungkinan ...
11/04/2025

Pasaran saham utama Asia merudum hari ini susulan kebimbangan yang memuncak dalam kalangan pelabur terhadap kemungkinan kemelesetan global, berikutan langkah Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif import secara meluas.

Keputusan Presiden AS, Donald Trump untuk melaksanakan tarif timbal balik ke atas semua import ke negara itu, termasuk kadar lebih tinggi terhadap beberapa negara tertentu, mencetuskan gelombang kejutan ke atas pasaran global dan menambah tekanan jualan saham.

Di rantau Asia Pasifik, pasaran saham menyaksikan kejatuhan ketara yang diterajui oleh Hong Kong apabila Indeks Hang Seng susut -10.701 peratus, diikuti TSEC Taiwan (-9.715 peratus), STI Singapura (-8.124 peratus), Nikkei 225 Jepun (-6.874 peratus), SSE Composite Index China (-6.339 peratus), KOSPI Korea Selatan (-4.929 peratus), FTSE Bursa Malaysia KLCI (-4.350 peratus), S&P/ASX 200 Australia (-4.048 peratus), PSEi Filipina (-3.961 peratus) dan SET Thailand (-3.150 peratus).

Hanya Indonesia mencatatkan peningkatan apabila Indeks Komposit Bursa Jakarta naik 0.591 peratus.

Alliance Bank Malaysia Bhd kini hampir mencapai RM15 bilion bagi perniagaan perbankan mampan baharu untuk projek hijau, ...
11/04/2025

Alliance Bank Malaysia Bhd kini hampir mencapai RM15 bilion bagi perniagaan perbankan mampan baharu untuk projek hijau, sekali gus menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjelang tahun kewangan sasaran 2027.

Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan, Aaron Sum, berkata pihaknya memberikan kemudahan perbankan mampan baharu RM14 bilion dengan memperkasakan PKS untuk menerima guna amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

-Advertisement-
Beliau berkata, Alliance Bank dapat melakukan usaha itu dalam tempoh dua tahun dan 10 bulan sahaja, dari November 2022 hingga Januari 2025, sebahagian besarnya didorong rangkaian komprehensif penyelesaian kewangan yang diperibadikan dan melangkaui penyelesaian perbankan.

Penyelesaian termasuk pilihan pembiayaan khusus dan skim pembiayaan hijau daripada Bank Negara Malaysia (BNM), seperti kemudahan peralihan karbon rendah, kemudahan berteknologi tinggi (teknologi) dan hijau serta gadai janji hijau, katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

"Kami berada di landasan untuk mencapai sasaran lebih awal daripada jadual dan akan mengumumkan sasaran baharu dalam masa terdekat. Ini mencerminkan permintaan memandangkan lebih banyak pihak mengamalkan amalan ESG dan memerlukan pembiayaan," katanya.

Ketika menjelaskan bahawa bank itu terus memperkasakan PKS untuk usaha ESG masing-masing, Sum berkata: "Banyak pihak kini beralih kepada bank dan geran kerajaan berbanding pembiayaan sendiri, (yang) meningkatkan jumlah kami."

Memetik edisi kedua laporan ESG tahunan Alliance Bank bertajuk 'The Path to Sustainable Impact - Sectoral Insights of Malaysian SMEs' (Laporan ESG 2.0) yang diterbitkan pada Januari tahun ini, Sum berkata tahap kesedaran dalam kalangan PKS melonjak kepada 80 peratus daripada 14 peratus, manakala kadar penerimaan ESG meningkat kepada 60 peratus daripada 28 peratus dalam tempoh 18 bulan, berbanding data dalam laporan ESG 1.0 yang diterbitkan pada 2023.

Beliau berkata, peningkatan kesedaran dan penerimaan itu didorong oleh faktor seperti tekanan pengawalseliaan dan pematuhan, penjimatan kos, pertumbuhan perolehan, kedudukan pasaran serta dorongan untuk inovasi.

"Satu daripada sebab utama peningkatan penerimaan ESG adalah inovasi, yang melonjak daripada 25 peratus pada 2023 kepada 43 peratus pada masa ini. Ini menunjukkan perniagaan tidak lagi melihat ESG hanya sebagai keperluan pematuhan.

"Mentaliti berubah daripada 'saya terpaksa melakukannya' kepada menerima ESG sebagai peluang untuk berinovasi, mencipta produk baharu dan mengamalkan pembuatan mampan yang memberi manfaat kepada alam sekitar, mengurangkan jejak karbon, menurunkan kos serta menggalakkan penyumberan tempatan yang bertanggungjawab, akhirnya merangsang ekonomi tempatan," katanya.

Hal itu perkembangan positif memandangkan PKS kini melihat ESG lebih daripada sekadar pematuhan dan mengaitkannya dengan manfaat keuntungan dan kerugian yang jelas sekali gus membantu mereka mengakses pasaran baharu.

Laporan ESG 2.0 juga menunjukkan 38 peratus PKS yang mengamalkan ESG berjaya meningkatkan perolehan lebih daripada 50 peratus, membuktikan potensi amalan mampan dalam memacu keuntungan.

Kesedaran dalam sektor pembuatan meningkat daripada 18 peratus kepada 84 peratus, sektor pembinaan (12 peratus kepada 77 peratus), sektor perkhidmatan (12 peratus kepada 78 peratus), dan sektor pertanian (19 peratus kepada 61 peratus).

Sum berkata, dari segi kesediaan, kalangan syarikat besar lazimnya lebih maju dalam menerima pakai dan mematuhi kawal selia antarabangsa.

Beliau berkata. bagi perniagaan kecil, aspek kesediaan adalah lebih mencabar kerana kekurangan kepakaran dan sumber yang boleh dikhususkan untuk memastikan pematuhan sepenuhnya.

"Oleh itu, usaha Alliance Bank adalah melangkaui kepimpinan pemikiran dan penyelidikan dengan menyediakan alat praktikal untuk membantu PKS dalam usaha peralihan mereka.

"Fokus kami adalah membantu peserta yang lebih kecil yang memerlukan bantuan yang paling besar. Syarikat besar mempunyai masa yang mencukupi untuk bersedia kerana mereka diberikan notis awal dan mempunyai lebih banyak sumber berbanding dengan perniagaan lebih kecil," katanya.

Beliau turut berkata, PKS memerlukan bimbingan dan sokongan untuk mengharungi perubahan itu.

Pihaknya menyediakan alat diagnostik serta bengkel bagi membantu PKS membangunkan pelan hala tuju peralihan ESG mereka sendiri, katanya.

Bank itu juga melaksanakan pendekatan pragmatik untuk PKS memulakan perjalanan kemampanan dengan membantu perniagaan mengamalkan langkah kemampanan yang efektif dari segi kos seperti meningkatkan kecekapan tenaga.

Alliance Bank juga menghubungkan usaha ESG dengan manfaat keuntungan dan kerugian yang nyata.

"Apabila pemilik PKS melihat insentif kewangan secara langsung, mereka lebih cenderung untuk bertindak. Hal ini bukan sekadar pematuhan, malah juga pertumbuhan perniagaan dan keuntungan," katanya.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyenaraihitamkan 109 pemaju hartanah kerana gagal mematuhi peratura...
11/04/2025

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyenaraihitamkan 109 pemaju hartanah kerana gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Nga berkata tindakan itu dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya melindungi kepentingan pembeli rumah.

"Tindakan menyenarai hitam pemaju-pemaju ini memberi mesej yang jelas bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan ketidakpatuhan. Kami mengambil tindakan tegas untuk melindungi wang hasil titik peluh pembeli rumah dan memastikan mereka menerima rumah yang mereka layak.

"Keselamatan pembeli rumah kekal sebagai antara keutamaan kementerian. Pemaju perlu mematuhi peraturan bagi memastikan projek mereka disiapkan mengikut masa dan mematuhi piawaian yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Projek Perumahan Mampu Milik ke-14, di sini, hari ini.

Nga berkata antara kesalahan dilakukan pemaju berkenaan adalah kegagalan mengemukakan laporan status pembangunan dan kegagalan mengemukakan laporan audit termasuk kunci kira-kira dan penyata untung rugi kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata pemaju yang disenarai hitam tidak layak untuk memohon lesen baharu sehingga mereka menyelesaikan bayaran denda yang tertunggak.

Beliau turut menasihatkan pembeli rumah untuk menyemak terlebih dahulu status lesen pemaju di laman web rasmi https://teduh.kpkt.gov.my/ sebelum membuat sebarang komitmen kewangan bagi membeli hartanah.

"Kami komited untuk menegakkan pematuhan peraturan bagi melindungi hak pembeli rumah dan memastikan pasaran perumahan yang adil dan telus untuk semua," katanya.

Address

1402 1 Jalan Puchong Batu 6 1/2 Kuala Lumpur
Putrajaya
58200

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Jom Belajar 01 posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Share