01/06/2025
Bila viral kisah bahawa hibah takaful boleh dicabar atau kena difaraidkan, ramai pemilik sijil Takaful Hibah mula risau dan antara soalan yang timbul ialah:
“Kalau boleh dicabar atau kena faraid, apa gunanya ambil hibah? Nanti jadi bergaduh juga akhirnya”.
Sebenarnya kisah yang viral ini bukan kisah biasa dan ada beberapa isu yang ‘lain’ di sebaliknya.
Berdasarkan cerita ahli keluarga terdekat dan bukti-bukti dokumen yang dipaparkan ianya berkisar di atas sikap penuntut (ahli keluarga suami) yang inginkan juga hibah tersebut walaupun sebenarnya yang menuntut adalah tidak layak dari segi Undang-Undang.
Kes ini dikatakan berlaku pada tahun 2021 di mana manfaat takaful hibah telah dibayar sepenuhnya kepada Balu Allahyarham tanpa sebarang isu.
Tuntutan untuk mencabar hibah ini p**a dikatakan baru sahaja berlaku baru-baru ini sehingga menjadi viral.
Untuk pemahaman kenapa perkara ini boleh berlaku, kita kena fahami dulu bahawa penama dalam hibah takaful terbahagi kepada dua iaitu:
1. Benefisiari – penerima hibah mutlak
2. Wasi (executor) – pentadbir yang perlu bahagikan hibah kepada yang berhak mengikut Undang-Undang.
Di dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013) jelas menerangkan kedudukan Wasi dan Benefisiari dalam konteks takaful seperti berikut:
1. Penama sebagai Wasi.
Penama yang dinamakan sebagai wasi bertindak sebagai pentadbir manfaat takaful, iaitu orang yang mengurus dan membahagikan manfaat tersebut mengikut wasiat si mati atau hukum faraid sekiranya tiada wasiat.
Kesan undang-undang: Wang takaful itu masih dianggap sebahagian daripada harta pusaka dan tidak terus menjadi milik wasi. Wasi hanya mengurus dan menyampaikan kepada waris yang sah mengikut hukum.
Rujukan IFSA 2013 6 (2)
"Bagi maksud subperenggan (1) jika seorang penama bagi peserta takaful menerima manfaat takaful itu sebagai seorang wasi, penama sedemikian hendaklah membahagikan manfaat takaful itu dalam penjalanan mengikut wasiat peserta takaful itu atau mengikut undang–undang yang berhubungan dengan pembahagian harta pusaka si mati yang terpakai bagi pentadbiran harta pusaka peserta takaful yang mati peserta takaful itu."
2. Penama sebagai Benefisiari di bawah Hibah Bersyarat
Penama menerima manfaat takaful sebagai pemilik mutlak, dan manfaat ini tidak menjadi sebahagian daripada harta pusaka si mati.
Kesan undang-undang: Manfaat akan terus dibayar kepada benefisiari dan tidak tertakluk kepada faraid.
Rujukan IFSA 2013 3 (2)
"Suatu penamaan oleh peserta takaful menurut subperenggan 2 (1) bagi seorang penama untuk menjadi seorang benefisiari di bawah hibah bersyarat, hendaklah, walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis, mempunyai kesan memindahkan pemilikan, dan hendaklah memindahkan pemilikan, manfaat takaful yang kena dibayar itu kepada penama itu atas kematian peserta takaful itu dan manfaat takaful sedemikian yang dipindahkan tidak menjadi sebahagian daripada harta pusaka peserta takaful yang mati itu atau tertakluk kepada hutangnya."
Kenapa hibah bersyarat sah di sisi undang-undang dan tidak perlu difaraid?
Kerana manfaat takaful hanya wujud selepas kematian pemilik sijil dan ini membolehkan hibah bersyarat dikuatkuasakan tanpa perlu melalui faraid, seperti diperuntukkan dalam IFSA:
“Manfaat takaful sedemikian yang dipindahkan tidak menjadi sebahagian daripada harta pusaka peserta takaful yang mati itu atau tertakluk kepada hutangnya.”
Penuntut dikatakan telah membawa kes ini ke mahkamah Syariah namun tuntutan telah ditolak kerana menurut Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013) jelas menyatakan bahawa Balu adalah Benefisiari, makanya hibah ini tidak termasuk dalam harta pusaka/faraid.
Penuntut yang masih tidak berpuas hati kemudiannya membawa kes ini ke mahkamah Sivil p**a. Peguam Penuntut dikatakan telah memanip**asi fakta bahawa Balu adalah Wasi dan bukannya Benefisiari.
Balu juga tidak hadir ketika penghakiman kerana telah berpindah dan notis tidak dapat disampaikan kepada beliau.
Di mahkamah Sivil, berdasarkan maklumat yang diberikan, hakim telah menjatuhkan penghakiman bahawa sebagai Wasi, hibah tersebut perlu dibahagikan secara faraid.
Kes ini sebenarnya masih belum selesai dan dikatakan akan dibawa ke Mahkamah Rayuan p**a setelah Balu menyedari perkara yang terjadi.
InsyaAllah, bila dibicarakan semula dengan fakta yang tepat, saya percaya hibah tersebut kekal milik Balu seperti yang diperuntukkan dalam IFSA 2013 itu sendiri.
Ramai juga yang kata, maksudnya semua perkara boleh dicabar di mahkamah jika ada pihak yang tidak berpuas hati.
Ya betul, namun boleh dicabar tidak semestinya akan berjaya kerana sebenarnya bila Undang-Undang telah jelas, tuntutan akan ditolak.
Saya bagi contoh lain p**a yang lebih mudah difahami.
Situasi:
Abdullah beli rumah atas nama isterinya, Aminah. Dokumen hak milik (geran) semua atas nama Aminah. Abdullah dah niatkan sebagai hadiah semasa hayatnya, rumah itu adalah hadiah kepada Aminah.
Bila Abdullah meninggal dunia, adik-beradik lelaki Abdullah datang menuntut rumah tu dan menyatakana kononnya Aminah cuma "penjaga", dan rumah itu sepatutnya jadi harta pusaka.
Namun realitinya:
1. Rumah atas nama Aminah = pemilikan sah, bukan harta pusaka.
2. Tuntutan boleh dibuat tapi hampir pasti ditolak, sebab jelas ia bukan milik Abdullah si mati secara sah.
Dalam contoh hibah takaful di atas dan contoh kedua berkenaan rumah Aminah, pemilikan telah sah dan jelas.
Namun jika masih ada yang cuba ingin menuntut, ianya adalah perkara yang di luar kebiasaan dan mungkin berlaku 1 dalam 1000.
Mahkamah biasanya menolak tuntutan sebegini jika dokumen milik sah wujud dan tiada bukti penipuan/paksaan namun dalam kes Hibah tadi, manip**asi maklumat dikatakan telah berlaku sehingga keputusan penghakiman berlaku sebaliknya.
Seperti yang saya selalu pesan juga kepada client, penerima hibah ni boleh lebih dari satu.
Boleh sahaja kita nak letak nama penerima hibah tu dua, contohnya 70% nama pasangan dan 30% nama ahli keluarga yang lain.
Memberi hadiah ni sangat digalakkan terutama kepada ibu bapa yang banyak berjasa kepada kita.
Ada juga client yang ambil hibah sampai 2-3. Hibah pertama diletakkan nama pasangan sepenuhnya, hibah kedua diletakkan nama ibu dan ayah. Hibah ketiga p**a diletakkan nama anak-anak/adik beradik.
Dokumen yang disertakan di ruangan komen ini adalah daripada facebook Tuan Naim Fital. Beliau juga ada menceritakan kisah ini daripada sudut perundangan dan sangat jelas difahami.