04/01/2023
𝗔𝗡𝗗𝗔 𝗧𝗔𝗛𝗨 𝗞𝗘𝗕𝗔𝗜𝗞𝗔𝗡 𝗕𝗨𝗔𝗧 𝗣𝗘𝗡𝗬𝗔𝗧𝗨𝗔𝗡 𝗛𝗨𝗧𝗔𝗡𝗚?
Kebaikan yang diperoleh apabila anda melakukan teknik penyatuan hutang adalah seperti berikut:
#1 𝐇𝐮𝐭𝐚𝐧𝐠 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐁𝐚𝐧𝐲𝐚𝐤 𝐉𝐚𝐝𝐢 𝐒𝐚𝐭𝐮 𝐒𝐚𝐡𝐚𝐣𝐚
Hidup anda menjadi lebih tenang apabila hanya perlu bayar dan fokus kepada satu hutang sahaja. Sebelum ini, anda mungkin rasa sukar untuk membuat bayaran kepada beberapa jenis hutang dan kepada pihak bank yang berbeza.
Kesannya, mungkin ada bayaran ansuran dari hutang tersebut yang terlepas pandang dan menyebabkan skor kredit anda menjadi buruk disebabkan terlewat membuat bayaran.
Apabila rekod anda menjadi tidak baik, semakin sukar untuk anda membuat permohonan pinjaman baru kepada pihak bank pada masa akan datang.
Selain daripada itu, jika sebelum ini anda mungkin terpaksa membuat bayaran kepada beberapa buah bank yang berbeza, kini anda hanya perlu bayar kepada satu bank sahaja.
Melalui satu bayaran sahaja, semua bayaran ansuran anda telah selesai. Perkara ini bukan sahaja memudahkan pembayaran anda malah menjimatkan masa anda.
#2 𝐉𝐢𝐦𝐚𝐭 𝐊𝐚𝐝𝐚𝐫 𝐅𝐚𝐞𝐝𝐚𝐡
Kebanyakan individu yang melakukan penyatuan hutang adalah untuk mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah berbanding pinjaman sebelum ini. Kadar faedah yang lebih rendah akan memberi penjimatan yang sangat banyak.
Setiap bank biasanya sering menawarkan kadar faedah yang berbeza mengikut kadar penetapan yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Oleh sebab itu, jika anda mahu mendapat penjimatan dari kadar faedah, anda perlu sentiasa melihat kadar faedah semasa setiap bank.
#3 𝐀𝐧𝐬𝐮𝐫𝐚𝐧 𝐁𝐮𝐥𝐚𝐧𝐚𝐧 𝐋𝐞𝐛𝐢𝐡 𝐑𝐞𝐧𝐝𝐚𝐡
Apabila anda mendapat kadar faedah yang lebih rendah, secara automatiknya anda juga akan membuat bayaran ansuran yang lebih rendah.
Selain itu, melalui kaedah penyatuan hutang ini juga, anda boleh membuat bayaran ansuran menjadi lebih rendah dengan menambah tempoh pinjaman menjadi lebih panjang.
Cara ini akan membantu anda yang sedang mengalami masalah terbeban dengan bayaran ansuran yang terlalu tinggi.
Sekurang-kurangnya, anda masih boleh menyusun kewangan anda menjadi lebih baik serta tidak menambah hutang lain.