23/12/2020
Pengiklanan video tular berkesan promosi produk
Pemasaran digital kini dilihat kaedah paling efektif memasarkan produk mahupun perkhidmatan. Perubahan ekonomi dunia memberi impak terhadap globalisasi.
Ini membabitkan proses pengeluaran dan pemasaran barangan serta perkhidmatan tanpa had sempadan atas faktor teknologi yang kini berkembang lebih cepat dan luas.
Ia membuka peluang perniagaan kepada sesiapa sahaja. Oleh itu, penyampaian maklumat dianggap penting dengan tujuan mengekalkan daya saing antara syarikat dan mewujudkan permintaan secara berterusan.
Pandemik COVID-19 mempercepatkan lagi proses evolusi ini kerana banyak perniagaan tidak dapat beroperasi secara fizikal, manakala kedai dan restoran ditutup.
Usahawan PKS perlu keluar 'kepompong'
Manfaatkan ekonomi digital jadi usahawan alaf baharu
Big Tree tampil produk baharu pengiklanan luar rumah
Daya tahan PKS akan diperkasakan
Justeru, kerajaan sangat menggalakkan usahawan terkesan berhijrah daripada infrastruktur fizikal kepada digital seperti e-dagang dan perniagaan dalam talian.
Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) memperuntukkan RM700 juta bagi pembangunan platform perniagaan digital menerusi pemberian geran dan pinjaman kepada syarikat berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan untuk menerapkan penggunaan teknologi digital dalam operasi dan saluran perdagangan mereka.
Dalam merangka kembali kebangkitan usahawan PKS terkesan akibat pandemik COVID-19, pengiklanan video tular di media sosial boleh dijadikan medium mempromosikan produk ataupun jenama.
Pengiklanan ini lebih berkesan berbanding imej dan grafik kerana ia mempunyai pengaruh sangat besar dalam membentuk dan menarik pemikiran penonton untuk membeli.
Secara purata, 81 peratus penduduk Malaysia meluangkan masa melayari internet di telefon pintar kira-kira tujuh hingga lapan jam sehari.
Pengiklanan tradisional di televisyen kini beralih arah kepada pengiklanan di internet. Kesan video pemasaran tular akan meningkatkan engagement penonton serta pengguna terhadap produk ataupun jenama.
Perlu diingat, isi kandungan sesuatu pengiklanan efektif perlu bersifat keterlibatan dan memujuk.
Menurut kajian, keberkesanan pemasaran video tular turut dibantu faktor penonton yang kini dilihat sukar menumpukan perhatian kepada pengiklanan komersial.
Mereka lebih cenderung mendapatkan sesuatu maklumat lebih pantas, tetapi dalam gaya mereka tentukan. Contohnya seperti video masakan, tutorial, penceritaan, cabaran dan gurauan (prank).
Dianggarkan lima saat pertama pengiklanan menjadi penentu kepada video akan ditonton atau diabaikan.
Penampilan seseorang berpengaruh seperti selebriti dalam video juga boleh meningkatkan jumlah tontonan dan sebaran. Video mempunyai nilai kreatif, emosi dan moral membantu menjadi tular. Penggunaan grafik, pemilihan audio dan peranan plot juga antara faktor mempengaruhi.
Oleh itu, adalah penting bagi pengusaha dan pengiklan memahami ciri-ciri pengiklanan di media sosial ini khususnya bagi menghasilkan video mencapai tahap tular kerana strategi pemasaran ini dianggap paling efektif, berkesan dan jaminan pulangan modal.
Proses memahami trend ini bukan sahaja membantu usahawan PKS menghasilkan video pengiklanan, bahkan graduan masih menganggur boleh menjadi pencipta kandungan kerana pekerjaan ini banyak ditawarkan syarikat seperti JobStreet Malaysia.