02/02/2026
Pesakit merayu untuk di”stent” tapi rayuan DITOLAK.
Baru-baru ini dapat seorang pesakit berumur 50-an. Dia datang KL bercuti. Bila berjalan di kawasan berbukit di KL dia kata dadanya berat dan pernah dia kata dadanya pernah sesak sampai rasa terlampau lemah. Bila ada simptom macam tu, lepas dia duduk diam, sakit dada tu akan hilang selepas beberapa minit, tetapi ada juga sampai tertidur juga sakit nya tak hilang.
ECGnya tak normal tetapi takdelah juga ketara ada masalah jantung.
Dalam hati saya, dah memang confirm lah ada saluran yang sempit. Saya offer dia untuk menjalani ujian treadmill (stress test) untuk membuktikannya tapi saya cakap lebih baik buat terus angiogram sebab hampir confirm dia akan gagal stress test.
Tiba-tiba dia kata tak perlu stress test, terus buka cerita.
Cerita punya cerita rupa-rupanya dia pernah diserang sakit jantung 10 tahun dulu. Ubat cair darah dia makan, tetapi ubat kolesterol dia culas. Ok senang kerja saya. Terus saya kaunselling terus untuk angiogram dengan tujuan rawatan angioplasty.
Hari keesokkannya, saya buat angiogramnya.
Fuh… dalam masa 30 saat pertama saya dah tahu dia takkan menjalani rawatan stent hari tu. Bukan sebab takde kesempitan yang teruk, tetapi sebab terlampau teruk.
Kesempitan yang hampir “mewajibkan” bypass kelihatan di saluran pangkal “left main stem”. Selain tu kesempitan yang teruk kelihatan di kesemua salurannya yang lain.
Saya anggarkan dia akan memerlukan hampir 6 stent untuk selesaikan kesemua kesempitannya.
Saya memberitahu pesakit tersebut keadaan jantungnya. Saya cakap, saya akan berhentikan prosedur dulu dan rujuknya kepada pakar bedah untuk rawatan pembedahan bypass. Muka dia pucat habis, walaupun saya menerangkan kebaikan bypass untuk kes yang teruk sepertinya.
Dia merayu untuk dimasukkan stent, tetapi saya tetap berhenti.
Saya terangkan yang bukan dia tak boleh menjalani rawatan stent tetapi secara biasanya, stent yang begitu banyak terutamanya melibatkan saluran “left main stem” takkan bertahan lagi lama dari bypass, dan oleh kerana dia masih muda, dia perlu fikirkan keputusan jangkamasa panjang.
Lagipun dalam keadaan yang cemas macam tu, pesakit takkan dapat buat keputusan yang tepat…
Berhenti dulu. Rujuk ke pakar bypass. Jika pesakit tolak juga bypass walaupun sudah diberikan kaunselling dengan pakar bypass baru saya akan menerimanya balik untuk rawatan stent yang kurang afdal untuk keputusan jangkamasa panjang. Sekurang-kurangnya pesakit dikira sudah “berdamai dengan takdir” andaikata ada masalah dengan stent pada masa hadapan….
Sorry kalau post ni panjang, tapi saya memang pasti yang ramai pesakit jantung pernah menjalani situasi yang sama. Merayu untuk satu rawatan yang simple tapi di”tolak” ke rawatan yang pedih…
Ni gambar yang saya lukis untuk pesakit tersebut untuk explain keputusan saya untuk menolak rayuannya…