09/12/2020
Perkongsian kami kelmarin ada menyebut mengenai keadaan 'bear market'. Eh, kejap..apa kaitan beruang dengan semua ini?
Kami yakin beruang itu sendiri tidak mengetahui yang namanya termasuk dalam salah satu istilah pelaburan. Gambaran beruang digunapakai kerana seperti yang kita semua tahu, beruang akan menunduk (menurun) dan menjatuhkan musuh ketika menyerang. Jadi, situasi 'bear market' merujuk kepada keadaan pasaran yang sedang menurun atau jatuh.
Dalam pelaburan unit amanah, ini merupakan situasi yang dinantikan sesetengah pelabur kerana mereka berpeluang menambah pelaburan melalui NAB dana yang menjadi rendah kesan daripada kejatuhan harga saham di pasaran. Maka, pelabur boleh memperoleh lebih banyak unit pelaburan berbanding ketika harga sedang tinggi.
Cara untuk menghadapi situasi 'bear market' dalam pelaburan unit amanah? Anda boleh aplikasikan teknik pemurataan kos ('cost averaging') melalui pelaburan secara berkala, iaitu melabur jumlah spesifik secara konsisten sama ada setiap bulan, setiap suku tahun atau mengikut jangka masa keselesaan anda.
Apapun yang paling penting, sebagai pelabur, anda perlu lihat kejatuhan pasaran dari sudut yang positif dan kekal yakin. Ingat, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.