15/06/2021
Apakah itu CTOS?
CTOS adalah sebuah Agensi Pelaporan Kredit yang didaftarkan di bawah bidang kuasa Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010. CTOS mengeluarkan laporan kredit (untuk individu dan syarikat) yang memaparkan rekod kredit mereka untuk tempoh 24 bulan lalu, maklumat tindakan undang-undang, pemilikan syarikat dan pengarah, dan juga testimoni daripada syarikat-syarikat yang pernah berurusniaga dengan mereka.
CTOS berfungsi secara dua hala – anda boleh menyemak laporan peribadi anda untuk memastikan kesihatan kredit anda berada dalam keadaan baik, manakala syarikat-syarikat (termasuk institusi kewangan) boleh menyemak laporan kredit anda untuk memastikan kelayakan anda untuk sebarang permohonan pinjaman atau kad kredit. Maklumat mengenai sejarah kredit anda akan membantu bank-bank menilai permohonan pinjaman anda dan membuat keputusan jika anda layak untuk diberikan pinjaman.
Sebelum memohon mana-mana pinjaman, anda boleh menilai profil kredit anda melalui CTOS untuk memastikan semua rekod kredit anda adalah jelas dan bebas daripada sebarang keraguan agar anda mempunyai peluang terbaik untuk mendapatkan kelulusan daripada bank.