07/07/2024
Jabatan kecemasan sesak, pesakit zon hijau paling lama menunggu! Kesesakan luar biasa di jabatan kecemasan hospital kerajaan memberi impak paling besar kepada pesakit kategori hijau atau yang berada di zon tidak kritikal apabila terpaksa menunggu lebih lama, berbanding tempoh yang disasarkan.
Pakar Perunding Perubatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose, berkata mengikut pelan asal, tempoh menunggu bagi pesakit kategori hijau adalah 90 minit, namun ia sukar untuk dicapai.
“Kita dapati agak sukar untuk (capai sasaran tempoh menunggu) kategori hijau. Bagaimanapun, melalui pertambahan kakitangan (perubatan), kita menyasarkan tempoh menunggu mereka adalah sehingga 120 minit.
“Itu yang cuba dicapai oleh Menteri Kesihatan melalui pelbagai usaha yang sedang digerakkan. Masyarakat harus faham, (situasi) jabatan kecemasan ini bergantung kepada kapasiti. Apabila jumlah input atau pesakit yang datang terlalu ramai, maka keutamaan akan diberikan kepada kes hidup dan mati.
“Ini menyebabkan mereka di kategori hijau terpaksa tunggu lebih lama, maka ia jadi satu petanda bahawa kita perlu tambah kakitangan perubatan. Tambah lagi, waktu menunggu terlalu lama, ini bermakna kapasiti (semasa) tak dapat menampung keperluan sebenar.
“Jadi untuk membolehkan kita berjalan dengan sasaran tempoh (ditetapkan), proses pemberian rawatan perlu dipercepatkan, di sinilah perlunya untuk tambah kakitangan untuk tangani beban kerja yang kian bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Ruang Bicara yang membincangkan topik ‘Isu kesesakan di jabatan kecemasan’ yang disiarkan di Bernama TV malam tadi.
Program itu dihoskan pengacara, Sherkawi Jirim.
Dalam pada itu, beliau turut melihat penting untuk Kementerian Kesihatan (KKM) mempercepatkan proses pendigitalan di semua hospital kerajaan.
“Saya lihat ada kemajuan yang baik, namun masih ada jurang yang perlu kita atasi. Misalnya masih banyak hospital yang belum melalui proses digitalisasi.
“Ini sekurang-kurangnya sangat membantu, misalnya mempercepatkan urusan x-ray, imbasan CT Scan, keputusan darah dan sebagainya,” katanya.