11/06/2026
UPACARA MEMPERINGATI DOUBLE SIX, GENAP 50 TAHUN SEJAK PERISTIWA 06 JUN 1976
11 JUN 2026: Genap 50 tahun sejak peristiwa 06 Jun 1976, Upacara Memperingati Double Six telah berlangsung sebagai tanda penghormatan dan mengenang jasa serta pengorbanan para pemimpin yang terkorban dalam tragedi tersebut, di Tugu Peringatan Double Six, Sembulan, pada 06 Jun 2026.
Upacara dimulakan dengan bertafakur selama seminit sebelum diteruskan dengan Upacara Meletakkan Karangan Bunga yang didahului oleh YB Datuk Ceasar Mandela Malakun, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah mewakili Ketua Menteri Sabah.
Upacara ini diteruskan oleh Encik Asgari Stephens, mewakili keluarga Allahyarham Tun Datuk Haji Mohd Fuad Stephens; Puan Kartina binti Salleh Sulong, mewakili keluarga Allahyarham Datuk Salleh Sulong; Encik Jeremiah Joinod Peter Mojuntin, mewakili keluarga mendiang Datuk Peter Mojuntin; Datin Jikilin Darius Binion, mewakili keluarga mendiang Datuk Darius Binion dan wakil keluarga mendiang Datuk Chong Thain Vun.
Turut meletakkan karangan bunga ialah YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, ACP Cyril Edward Nuing @ Hillary, Timbalan Ketua Siasatan Jenayah mewakili Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sabah dan Encik Gerry D’cruz, Penolong Ketua Pegawai Eksekutif Sutera Harbour mewakili Ketua Eksekutif Sutera Harbour.
Rombongan kemudiannya meneruskan lawatan ke Galeri Double Six, di mana telah berlangsung penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Kreatif Potret Tokoh Pemimpin Sabah 2026 anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, DBKK yang berlangsung pada bulan Februari hingga April 2026.
Bertemakan "Menghargai Warisan, Menginspirasi Generasi", sebanyak 98 penyertaan telah diterima daripada tiga (3) kategori utama yang dipertandingkan, iaitu Kategori A (Sekolah Rendah), Kategori B (Sekolah Menengah) dan Kategori C (Institusi Pengajian Tinggi/Belia/Terbuka).
Turut disampaikan hadiah kepada penerima anugerah khas, iaitu Anugerah Khas Inovasi Digital, Anugerah Ekspresi & Jiwa Tokoh, Anugerah Interpretasi Terbaik, Anugerah Penghayatan Tokoh, Anugerah Teknik Terbaik, Anugerah Pilihan Juri serta Pameran Khas.
Penganjuran pertandingan ini merupakan sebuah platform memperingati jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh kepimpinan Sabah melalui pendekatan seni visual yang kreatif, moden dan dekat dengan generasi muda.
Sebanyak 29 karya kreatif telah dipilih untuk dipamerkan dalam Pameran Karya Terpilih Pertandingan Kreatif Potret Tokoh Pemimpin Sabah 2026 sempena 50 Tahun Peristiwa Double Six. Setiap karya menampilkan potret tokoh-tokoh kepimpinan Sabah yang dihasilkan menerusi interpretasi seni visual yang unik dan kreatif.
Orang ramai dijemput untuk mengunjungi dan menghayati pameran ini di Galeri Double Six, Sembulan, yang dibuka kepada umum setiap hari, bermula 9.00 pagi hingga 6.00 petang.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez
Dikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK