06/10/2021
PEMBUNUH DIJEMPUT KE SYURGA
UNTUK meraih syurga ALLAH, kita perlu mengikuti segala apa yang disukai Sang Pencipta dan jauhi larangan-Nya.
Orang yang tenggelam dalam cinta kepada Tuhan akan sentiasa berusaha. Berusaha menjadikan kehidupan dan amalannya suatu perkara yang disukai-Nya.
Andai kata kita ada melakukan khilaf. Dan dijentik rasa bersalah dalam diri. Maka, segeralah kembali kepada-Nya serta bertaubatlah.
Rasulullah SAW bersabda: "Penyesalan adalah taubat." (Riwayat Ibnu Majah)
Dalam hadis Nabi Muhammad SAW, ada diceritakan tentang suatu kisah pelaku maksiat. Kisah itu berkaitan seorang pembunuh yang dijemput ke syurga.
Diceritakan, lelaki itu telah membunuh 99 orang. Lalu, beliau berniat mencari orang alim untuk diajukan soalan tentang taubat.
Beliau berjumpa seorang pendeta dan bertanya: "Aku telah membunuh 99 orang. Apakah masih ada peluang untukku bertaubat?"
Pendeta itu berkata: "Tidak."
Mendengar jawapan itu, lelaki tadi terus membunuh pendeta berkenaan. Maka, cukuplah 100 orang yang telah dibunuhnya.
Namun begitu, beliau masih tegar mencari orang alim. Akhirnya, beliau bertemu orang alim yang lain.
Lalu, diajukan soalan yang sama: "Aku telah membunuh 100 orang, adakah masih ada peluang untukku bertaubat?"
Jawab orang alim itu:
"Ya! Siapa yang dapat menghalang kamu untuk bertaubat? Pergilah ke kampung sekian dan beribadatlah di sana. Usah kamu kembali lagi ke negerimu kerana ia negeri yang sangat hina."
Lelaki si pembunuh tadi itu pun meneruskan perjalanannya. Menuju ke kampung yang disebutkan oleh orang alim tersebut.
Namun, ketika di persimpangan jalan, beliau ditakdirkan meninggal dunia. Berlakulah 'pergaduhan' antara Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab.
Malaikat Rahmat berkata: "Dia berjalan mencari rahmat ALLAH SWT." _Berkata p**a Malaikat Azab: _"Dia seorang yang tidak pernah melakukan kebaikan!"
Kemudian, datang malaikat lain menawarkan solusi dan berkata: "Ukurlah jarak di antara dua buah tempat. Mana yang lebih dekat, itulah tempat bersemadinya."
Setelah diukur, ternyata jarak lelaki itu mendekati negeri yang mahu ditujunya. Lalu, Malaikat Rahmat mengambilnya.
Lihatlah bagaimana penilaian ALLAH Yg Maha Pengampun terhadap hamba-Nya. Ambillah pengajaran daripada kisah ini. Agar segera bertaubat tatkala hati kita dicuit hidayah ALLAH.