26/09/2026
PELAJAR TAHFIZ ULANG TRAGEDI BULI SETERIKA ZULFARHAN?
Dua pelajar sekolah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Parit, Perak, semalam, berhubung kes buli di sebuah maahad tahfiz minggu lalu, dengan mencederakan mangsa menggunakan seterika.
Benda paling menyakitkan bukan sebab ia berlaku di sebuah maahad tahfiz.
Benda paling menyakitkan ialah sebab kita pernah menangis, marah dan berjanji selepas kes-kes dulu. Kita pernah tengok kes seterika di UPNM. Kita pernah tengok bagaimana arwah Zulfarhan diseksa sampai meninggal dunia.
Kita pernah kata, “Lepas ini jangan bagi jadi lagi.”
Tetapi semalam, dua budak umur 13 dan 14 tahun p**a didakwa kerana menekap seterika panas pada dada rakan mereka sampai melecur tahap dua.
Jadi persoalannya mudah.
Apa sebenarnya yang kita belajar daripada semua kes sebelum ini?
Kes senior UPNM yang didakwa menekap seterika panas pada juniornya pun proses mahkamahnya masih berjalan. Kes lama belum habis dibincangkan, pengajaran belum benar-benar masuk dalam kepala, tetapi cara ganas yang sama muncul semula di tempat lain.
Jangan cepat salahkan satu institusi sahaja. Ini bukan isu tahfiz semata-mata. Ini bukan isu universiti semata-mata. Ini isu budaya bila ada budak yang rasa sakit orang lain itu bahan gurauan, alat tunjuk kuasa atau cara untuk nampak berani.
Seterika bukan alat disiplin.
Seterika bukan alat gurauan.
Seterika ialah alat yang boleh merosakkan kulit, tubuh, trauma dan masa depan seseorang.
Yang lebih bahaya, bila orang sekeliling nampak tanda awal tetapi pilih diam. Takut nama sekolah buruk. Takut institusi tercemar. Takut ibu bapa marah. Akhirnya yang melecur bukan dada mangsa sahaja. Kepercayaan ibu bapa kepada tempat mereka hantar anak pun ikut hangus.
Kita selalu sibuk buat slogan anti-buli selepas kes jadi viral.
Lepas itu senyap.
Lepas itu ulang balik.
Kalau mahu hentikan benda ini, jangan tunggu sampai ada kesan lecur atas badan anak orang. Warden kena dekat dengan pelajar. Guru kena berani ambil tindakan. Pelajar kena ada saluran selamat untuk melapor.
Dan siapa yang menutup kes, jangan dilayan macam dia sedang jaga imej. Dia sebenarnya sedang bagi ruang kepada keganasan hidup.
Sebab bila satu generasi diajar bahawa menyakitkan orang itu gurau, jangan terkejut kalau satu hari nanti gurauan itu dibalas dengan ambulans, mahkamah atau kematian.