01/04/2022
Mengetahui apa yang ada dipasaran bukan semata-mata ingin mengetahui harganya, tetapi lebih kepada ingin mengetahui apa produk dan solusi yang ada.
Ada produk yang carumannya murah, tetapi jika dibandingkan manfaatnya kelihatan kurang berbaloi.
Bagi membantu anda, kami telah menyenaraikan beberapa terma utama yang akan anda temui dalam usaha mencari perlindungan insurans/takaful yang paling sesuai dengan keperluan anda.
1. KAD PERUBATAN
Kad perubatan menyediakan perlindungan insurans/takaful kepada anda. Apabila kad perubatan dikemukakan, pihak hospital akan menghubungi dan memaklumkan kepada syarikat insurans/pengendali takaful mengenai kemasukan, diagnosis dan rawatan yang ditetapkan.
2. HOSPITAL PANEL
Kad perubatan yang anda daftar mempunyai senarai hospital panel. Anda perlu mendapatkan perkhidmatan di hospital panel yang telah disenaraikan untuk menikmati kemudahan jaminan insurans /takaful tersebut.
3. PREMIUM/SUMBANGAN
Ini adalah bayaran/sumbangan yang dibuat kepada syarikat insurans atau pengendali takaful yang perlu ditanggung/ disumbangkan oleh pengguna, sama ada dia telah menemui doktor atau menggunakan mana-mana manfaat yang ditawarkan oleh syarikat insurans/ pengendali takaful.
4. HAD SEPANJANG HAYAT ATAU TAHUNAN
Ini adalah jumlah maksimum yang boleh dituntut daripada syarikat insurans/pengendali takaful anda sepanjang hayat selagi polisi / sijil anda masih aktif dengan syarikat insurans/ pengendali takaful.
5. TANGGUNGAN SENDIRI/DEDUKTIBEL
Ia adalah sejumlah wang yang ditanggung sendiri oleh anda sebelum perlindungan sebenar anda bermula.
6. PELAN MANDIRI VS PELAN TAMBAHAN
Pelan perubatan mandiri berfungsi seperti insurans berpenggal di mana anda akan dilindungi selagi anda membayar premium/ sumbangan anda. Sebaliknya, pelan insurans perubatan tambahan adalah sebahagian daripada polisi insurans hayat/sijil takaful keluarga asas yang kebiasaannya merupakan suatu polisi/sijil Insurans/Takaful berkaitan pelaburan (ILP).
7. JAMINAN PEMBAHARUAN
Selagi pembayaran premium dibuat tepat pada masanya dan anda ingin melanjutkan polisi insurans, syarikat insurans diwajibkan memperbaharui polisi anda (dengan syarat anda belum melebihi had tuntutan sepanjang hayat dan anda belum mencapai umur kelayakan maksimum untuk perlindungan).
8. PEMBAHARUAN TIDAK TERJAMIN
Ini bermakna polisi/sijil anda diperbaharui setiap tahun, tertakluk kepada kelulusan syarikat insurans/ pengendali takaful.