16/01/2026
Atomic Group rancang IPO, sasar perolehan RM100 juta menjelang 2028
KUALA LUMPUR: Atomic Group menyasarkan perolehan RM100 juta menjelang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2028, lebih dua kali ganda berbanding RM46 juta yang direkodkan pada 2025, disokong permintaan semakin kukuh terhadap produk kesihatan dan kesejahteraan di Malaysia serta rantau Asia Pasifik.
Pengasasnya, Jon Lai, berkata sasaran itu realistik berikutan perubahan gaya hidup pengguna yang kini lebih menekankan pencegahan penyakit serta penggunaan produk kesihatan berasaskan bahan semula jadi.
Katanya, bagi mencapai sasaran berkenaan, Atomic akan memperluaskan portfolio jenama, memperkukuh penembusan runcit serta mengembangkan operasi ke peringkat antarabangsa, selain meletakkan penyenaraian di Bursa Malaysia sebagai pelan jangka sederhana sekitar 2028.
"Kami terbuka kepada penyenaraian, namun tidak tergesa-gesa. Tawaran awam permulaan (IPO) adalah sebahagian daripada perancangan, tetapi keutamaan kami ketika ini adalah membina perniagaan yang kukuh dan cekap," katanya dalam satu kenyataan.
Lai berkata, strategi pertumbuhan kumpulan lebih tertumpu kepada pelaksanaan dan pengedaran berkesan berbanding mengejar idea baharu semata-mata.
"Apabila pengedaran dilakukan dengan betul, faktor lain akan berkembang secara semula jadi dan kekuatan kami adalah sebagai rumah pengedaran kandungan yang membolehkan jenama dikenali dengan pantas melalui pendidikan digital dan penceritaan berstruktur," katanya.
Menurutnya, penembusan runcit kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan Atomic, khususnya melalui kehadiran lebih mendalam di farmasi dan premis fizikal yang menyumbang kepada pembelian berulang serta peningkatan kepercayaan jenama.
Kumpulan itu juga memperkenalkan unit simpanan stok (SKU) khusus mengikut saluran jualan seperti dalam talian, farmasi dan kedai serbaneka.
Selain pertumbuhan organik, Atomic turut terbuka kepada pengambilalihan terpilih serta pengembangan luar negara, selagi sejajar dengan kekuatan teras kumpulan.
Portfolio Atomic merangkumi jenama kesejahteraan tempatan seperti Nattome, Kingwell Series, The Perfect Derma, serta jenama baharu yang diperoleh, Hong Jue Tang.
Kumpulan itu juga menyasarkan untuk menjadi hab jenama kesejahteraan semula jadi, menyerupai platform gaya Nestle dengan fokus kepada makanan fungsian, suplemen dan penjagaan kulit berasaskan formulasi semula jadi serta bukti saintifik.
Lai berkata, banyak jenama digital gagal berkembang ke peringkat runcit berskala besar disebabkan isu harga, komunikasi dan ramalan permintaan.
"Kami membangunkan formula pelaksanaan yang merapatkan jurang antara pendidikan dalam talian dan skala luar talian. Kami tertarik kepada jenama yang produknya kukuh tetapi potensi pengembangan belum dimaksimumkan," katanya.
Beliau menambah, Atomic mengutamakan jenama yang menyelesaikan masalah pengguna, disokong bukti klinikal dan mempunyai permintaan pasaran sebenar, khususnya jenama yang sudah menguntungkan tetapi masih berskala kecil.
Kekuatan teras kumpulan terletak pada penjenamaan jelas, pemasaran digital berprestasi tinggi serta pengedaran luar talian yang berkesan, membolehkan jenama berkembang secara seimbang di saluran dalam talian dan fizikal.
"Pendekatan kami adalah digital terlebih dahulu, selepas permintaan terbina, runcit fizikal menjadi enjin utama untuk skala," katanya.
Selain pembinaan jenama, Atomic turut menjalankan kajian klinikal bagi produk terpilih bagi mengukuhkan keyakinan pengguna, profesional kesihatan dan rakan niaga runcit.
Di peringkat serantau, Atomic sudah bertapak di Singapura dan merancang pengembangan ke Thailand, Vietnam serta Filipina melalui model pengedar dan usaha sama terpilih.
"Singapura kekal pasaran terpenting kami di luar Malaysia, diikuti Thailand, Vietnam dan Filipina," katanya.
KUALA LUMPUR: Atomic Group menyasarkan perolehan RM100 juta menjelang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2028, lebih dua kali ganda berbanding RM46 juta yang direkodkan pada 2025, disokong permintaan semakin kukuh terhadap produk kesihatan dan kesejahteraan di Malaysia serta rantau Asia Pasifik.