06/07/2026
Tekanan Darah Tinggi Boleh Pecahkan Salur Darah Dalam Otak
Ramai orang ingat darah tinggi hanya nombor di mesin tekanan darah.
Nampak macam angka biasa.
Tetapi di dalam badan, tekanan yang tinggi ini sedang memberi beban besar kepada salur darah, termasuk salur darah kecil dalam otak.
Bayangkan salur darah seperti paip halus.
Jika tekanan air terlalu kuat setiap hari, paip itu lama-lama akan menjadi keras, lemah dan mudah bocor.
Begitu juga dengan salur darah otak.
Apabila tekanan darah tinggi tidak dikawal, dinding salur darah kecil dalam otak boleh menjadi rosak sedikit demi sedikit. Ia boleh menjadi tebal, sempit, rapuh dan kurang elastik.
Lama-kelamaan, bahagian yang lemah ini boleh pecah.
Bila salur darah pecah, darah akan keluar masuk ke dalam tisu otak. Inilah yang kita panggil pendarahan otak atau strok berdarah.
Masalahnya, otak berada dalam ruang tengkorak yang tertutup.
Bila darah terkumpul, ia bukan sahaja menyebabkan kawasan otak rosak, tetapi juga boleh menekan bahagian otak yang lain. Tekanan dalam kepala boleh meningkat dan fungsi otak boleh terganggu dengan cepat.
Sebab itu pendarahan otak boleh berlaku secara tiba-tiba.
Seseorang mungkin nampak sihat sebelum ini, tetapi jika darah tinggi lama tidak dikawal, salur darah di dalam otak mungkin sudah lama mengalami kerosakan.
Tanda bahaya yang perlu diberi perhatian:
🚨 Muka senget secara tiba-tiba.
🚨 Tangan atau kaki lemah sebelah badan.
🚨 Percakapan pelo atau sukar bercakap.
🚨 Sakit kepala yang sangat kuat secara tiba-tiba.
🚨Muntah-muntah.
🚨Penglihatan kabur atau hilang penglihatan.
Keliru, sawan, mengantuk teruk atau pengsan.
Jika berlaku tanda seperti ini, jangan tunggu reda di rumah.
Jangan urut.
Jangan beri makan atau minum jika pesakit kelihatan lemah, mengantuk atau tidak sedar.
Jangan tunggu “tengok dulu sampai esok”.
Ini kecemasan.
Hubungi 999 atau pergi segera ke Jabatan Kecemasan.
Darah tinggi bukan sekadar penyakit orang tua.
Darah tinggi bukan sekadar pening kepala.
Darah tinggi bukan sekadar nombor dalam buku rawatan.
Ia boleh merosakkan salur darah secara senyap selama bertahun-tahun sebelum akhirnya muncul sebagai strok, serangan jantung, kegagalan buah pinggang atau pendarahan otak.
Periksa tekanan darah anda.
Ambil ubat seperti diarahkan.
Kurangkan garam.
Berhenti merokok dan v**e.
Kawal berat badan.
Rawat diabetes dan kolesterol.
Jangan berhenti ubat darah tinggi hanya kerana badan rasa sihat.
Sebab dalam banyak kes, pesakit darah tinggi memang rasa sihat.
Sehinggalah komplikasi berlaku.
Tekanan darah yang terkawal hari ini boleh menyelamatkan otak anda esok.
Public Health Malaysia