03/01/2023
PENA YB | Sangka Baik
Saidina Umar bin Al-Khattab r.a.telah berkata :
“Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik.”
Ketegasan Saidina Umar ini jelas membawa maksud kepentingan akhlak bersangka baik wajar diamalkan dalam kehidupan.
Kepesatan dan kemajuan yang kita nikmati hari ini, sedikit sebanyak memberikan kesan hingga terhakis sifat bersangka baik.
Implikasinya , masing-masing diterapkan rasa penting diri hingga dilihat apabila berlaku sesuatu insiden atau peristiwa s**ar mewujudkan sangkaan baik.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu s**a memakan daging saudaranya yang sudah mati?” (Al-Hujurat: 12)
Berbaik sangka sangat dituntut dalam Islam kerana boleh mengelakkan daripada menuduh orang lain berbuat jahat atau melakukan keburukan.
Manusia yang bersangka buruk seolah-olah memfitnah orang kerana sifat itu tidak mempunyai bukti nyata dan kukuh. Ini dibimbangi terjadi fitnah yang membawa kepada dosa besar.
Berikut pesanan daripada Syeikh Abdul Kadir Al-Jailani untuk mengaplikasikan sangka baik dalam diri :
1. Jika engkau bertemu dengan SESEORANG, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu :
"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku".
2. Jika bertemu ANAK KECIL, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku"..
3. Jika bertemu orang TUA, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."
4. Jika bertemu dengan seorang yang BERILMU, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."
5. Jika bertemu dengan seorang yang BODOH, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya.Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku."
6. Jika bertemu dengan orang KAFIR, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk.
Rasulullah SAW sendiri telah melarang orang Islam memasang prasangka dan tohmah, sebab ianya (prasangka dan tohmah) adalah tipu daya hawa nafsu atau andaian buruk semata-mata.
Sesungguhnya prasangka itu tidak ada bukti dan dia tidak membawa kebenaran sedikit pun.
Kesan dari sifat prasangka ini akan menimbulkan keretakan dalam masyarakat dan akan mengganggu keharmonian.
Sabda Rasulullah SAW:
“Jauhilah kamu dari prasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu adalah sebohong-bohong rekaan rasa hati (berita hati).” (Mutafaqun alaih)
YB Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib
Ahli Parlimen Parit
"Kukuhkan Ukhuwah Eratkan Persaudaraan"
LIKE | FOLLOW | SHARE