18/12/2023
Sedarkah kita bahawa doa dan ibadah seseorang Muslim boleh jadi tumpul, tidak maqbul dan keluarganya turut terkena tempias ketiadaan berkat akibat makanan haram dan yang dibeli dengan wang hasil pendapatan dan perbelanjaan haram?
Nabi bersabda :
قال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم : إن الله تعالى طيب لا يقبل إلا طيبا وإن الله أمر المؤمنين بما أمر به المرسلين فقال تعالى { يا أيها الرسل كلوا من الطيبات واعملوا صالحا } وقال تعالى { يا أيها الذين آمنوا كلوا من طيبات ما رزقناكم } ثم ذكر الرجل يطيل السفر أشعث أغبر يمد يديه إلى السماء : يا رب يا رب ومطعمه حرام وملبسه حرام وغذي بالحرام فأنى يستجاب له
Ertinya : “Telah bersabda Rasulullah SAW : “ Sesungguhnya Allah itu baik, tidak menerima sesuatu kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin (seperti) apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul, maka Allah telah berfirman: Wahai para Rasul, makanlah dari segala sesuatu yang baik dan kerjakanlah amal soleh. Dan Dia berfirman: Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari apa-apa yang baik yang telah Kami berikan kepadamu.' Kemudian beliau menceritakan kisah seorang laki-laki yang melakukan perjalanan jauh, berambut kusut, dan berdebu menengadahkan kedua tangannya ke langit seraya berdo'a: “Wahai Tuhan, wahai Tuhan” , sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dikenyangkan dengan makanan haram, maka bagaimana orang seperti ini dikabulkan do'anya". (HR. Muslim)
Justeru, lihat, doa tidak maqbul, anak yang dibesarkan dengan wang tidak bersih ini juga terkesan doa mereka. Justeru, cuba kita sama-sama lihat mengapa lebih 81% penyimpan KWSP dari kalangan Muslim masih tidak menukar kepada Simpanan Shariah?
Kita menyimpan sama ada dengan rela atau tidak, menurut peraturan dalam negara demi kebaikan hari persaraan, majoriti negara di dunia menjalankan tanggungjawab untuk rakyat dengan menyediakan simpanan persaraan dan menyediakan kepakaran sebenar dalam hal pelaburan di samping membantu merancakkan ekosistem kewangan dan syarikat dalam negara masing-masing melalui dana terkumpul yang besar tersebut.
Di Malaysia, simpanan wang persaraan pekerja swasta itu diuruskan oleh KWSP. Dahulu sebelum tahun 2017, tiada pilihan, mesti tolak gaji dan majikan turut menyumbang untuk simpanan pekerjanya. Namun, semua diurus secara tidak patuh syariah. Tetapi bermula 2017, muncul Simpanan Shariah dan pekerja boleh memilih untuk simpanan mereka diuruskan secara patuh syariah dengan menukar Simpanan Konvensional kepada Simpanan Shariah.
Akad bagi Simpanan Shariah adalah akad wakalah yang diperakukan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS). Akad wakalah yang digunapakai ini dikategorikan sebagai wakalah mudhafah lil mustaqbal (pewakilan yang berkuatkuasa pada masa hadapan) di mana Akaun Simpanan Shariah ini akan berkuat kuasa pada tarikh yang ditentukan oleh Lembaga iaitu pada 1 Januari setiap tahun tertakluk kepada peruntukan dana, dan bukan serta merta selepas pendaftaran Simpanan Shariah.
Lembaga KWSP akan mengisytiharkan dividen tahunan bagi Simpanan Shariah mengikut prestasi sebenar Portfolio Syariah yang diperuntukkan kepada Simpanan Shariah mengikut bahagiannya di dalam portfolio iaitu pendapatan nyata pelaburan patuh syariah, dan pendapatan bukan pelaburan setelah mengambil kira perbelanjaan.
Selain daripada pelaburan beretika yang bebas daripada pelaburan dalam sektor yang menghasil dan mempromosi elemen tidak patuh syariah, semua aset pelaburan juga akan melalui proses saringan syariah berdasarkan kriteria dan garis panduan syariah yang ditetapkan oleh JKPS bagi menyingkirkan elemen tidak patuh syariah seperti riba (faedah), gharar (ketidakpastian dalam kontrak), maysir (perjudian) dan lain-lain elemen terlarang seperti barangan dan perkhidmatan tidak halal.
Untuk memastikan pematuhan syariah menyeluruh ke atas pelaburan Simpanan Shariah, JKPS telah menetapkan polisi syariah berkaitan pematuhan dan pengawasan pelaburan patuh syariah yang dikemaskini dari semasa ke semasa.
Bagi yang belum bertukar p**a, rebutlah peluang pada akhir tahun ini untuk menukarkan akaun KWSP anda kepada Simpanan Shariah supaya akaun Simpanan Shariah anda akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2024 dan tidak memerlukan kepada pembersihan dividen pada tahun hadapan.
Namun, sekiranya anda tidak menukarkan kepada akaun Simpanan Shariah dengan segera, anda perlu untuk membersihkan dividen anda sebagaimana kaedah di bawah. Maka ruginya dividen wajib dibersihkan, wang p**a diguna ke tempat yang tidak patuh syariah. Malah, selepas pembersihan, kadar dividen Simpanan Konvensional yang telah dibersihkan akan menjadi lebih kecil daripada Simpanan Shariah. Justeru, segeralah bertukar ke Simpanan Shariah. Proses ini tidak susah dan boleh dilakukan secara atas talian sahaja melalui aplikasi KWSP i-Akaun.
Dr. Zaharuddin Abd Rahman