28/01/2026
ROADTAX TAK PAYAH TAMPAL LAGI — NI BUKAN LUPA, MEMANG DAH DIGITAL 📱🚗
Kalau dulu kena roadblock, ayat klasik mesti keluar: “Encik, roadtax ni dah pudar… tulisan tak nampak.” Kita pun jawab dalam hati, “Ni JPJ yang bagi la tuan, bukan saya print kat Mydin.”
Berita baiknya, mulai 1 Februari 2026, benda ni memang tak jadi isu langsung.
JPJ secara rasmi tak lagi keluarkan slip fizikal cukai jalan (LKM) untuk kenderaan persendirian milik individu warganegara. Maksudnya lepas ni, tak perlu lagi tampal roadtax kat cermin, tak perlu simpan slip dalam dashboard, dan tak perlu risau kertas pudar kena panas. Semua urusan roadtax terus digital melalui aplikasi MyJPJ.
Roadblock lepas ni pun senang. Buka phone, buka MyJPJ, tunjuk status “BERKUAT KUASA”, dan jalan. Tak ada drama, tak ada salah faham. Langkah ni dibuat memang untuk galakkan pengguna beralih ke platform digital, kurangkan kesesakan di kaunter JPJ, dan jimatkan masa semua pihak.
Perubahan ni melibatkan hampir semua urusan utama JPJ seperti pendaftaran kenderaan baharu, pembaharuan roadtax, tukar hak milik, tukar nombor kenderaan (interchange), dan ia terpakai untuk semua saluran perkhidmatan termasuk kaunter JPJ, kios, serta rakan niaga seperti Pos Malaysia, MyEG dan PUSPAKOM.
Cuma satu benda penting kena tahu — bukan semua kategori terlibat. Slip fizikal masih diteruskan buat sementara waktu untuk kenderaan persendirian individu bukan warganegara, kenderaan syarikat, perdagangan dan perkhidmatan awam, sehingga sistem mySIKAP JPJ dan aplikasi MyJPJ dikemas kini sepenuhnya.
Pendek kata, roadtax lepas ni bukan lagi kat cermin, tapi dalam phone. Jangan panik bila tak nampak kertas, asalkan status aktif dan sah.
Download atau kemas kini MyJPJ sekarang, jangan tunggu kena roadblock baru kelam-kabut cari aplikasi.😅