13/04/2022
"Jadi, semua muafakat ye pembahagian harta dilakukan begini?"
Kami jawab, "Ya, puan Hakim"
Begitulah pengalaman pertama hadir bicara untuk pengurusan harta pusaka arwah ibu kami. Perkataan 𝗠𝗨𝗔𝗙𝗔𝗞𝗔𝗧 yang dituturkan tu nampak simple, tapi tak semua orang boleh melaksanakannya dengan baik.
Sementara menunggu bicara di pejabat tanah tempoh hari, saya sempat ambil gambar beberapa keratan akhbar yang ditampal, rasa tak sempat nak baca habis. Cerita benar perebutan harta pusaka. Ada yang sanggup mencederakan ahli keluarga, menipu, membuka aib semata-mata berebutkan harta pusaka. Allahuakbar.
Dalam menyelesaikan pembahagian harta pusaka orang Islam, mekanisme yang dianjurkan adalah menggunakan kaedah 𝗙𝗔𝗥𝗔𝗜𝗗. Tapi, letak la hukum apa sekalipun, kalau tiada 𝗠𝗨𝗔𝗙𝗔𝗞𝗔𝗧, tidak akan selesai permasalahan pembahagian harta pusaka, akan berlakunya perpecahan dan pertelingkahan.
Alhamdulillah, kami 4 beradik ni dari mulanya arwah mak sakit sentiasa sepakat, masing-masing jalankan peranan dengan baik hinggalah mak & apak kami meninggal dunia.
Masa doktor beritahu keadaan arwah ibu saya paliatif, ada lebih kurang 11 bulan saja untuk hidup, arwah pesan pada kami untuk buat urusan pembahagian hartanya semasa dia masih hidup. Katanya untuk memudahkan urusan semua orang yang ditinggalkan.
Kami tak peduli langsung untuk memikirkan soal pembahagian tersebut kerana nak fokus pada kesihatan arwah yang mengharapkannya kembali sihat, hilang semua kesakitan dan panjang umurnya.
Tak sanggup rasanya nak hilang susuk tubuh seorang mak. 😭 Sebelum meninggal, arwah pesan:
✅ semua harta mak dah habis bayar, alhamdulillah, mak takda hutang, dan apa saja hutang orang pada mak, mak halakan semua.
✅ sekeping sampul warna putih tertulis "MATI", "dalam ni semua duit untuk urusan kematian mak" Diselit sampul warna putih itu di rak Al-Quran/ buku-buku arwah.
Bukan itu saja, ada duit juga yang ditinggalkan buat kami 4 beradik. Masa arwah bekerja dulu, dia kumpul duit dan beli sikit-sikit harta buat peninggalan waris yang ditinggalkan.
Masa dulu kurang kesedaran pasal 𝗛𝗜𝗕𝗔𝗛. 𝗛𝗜𝗕𝗔𝗛 ni penyelesaian alternatif untuk bantu pembahagian harta pusaka. Ambil contoh harta tak alih macam rumah, nak cairkan aset (liquidation) ni, kena tengok berapa banyak "𝗥𝗘𝗔𝗗𝗬 𝗠𝗢𝗡𝗘𝗬" yang kita ada untuk melaksanakan/mulakan prosesnya?
Belum lagi main tolak-tolak antara waris siapa yang nak "initiate the process". Kalau waris masing-masing muafakat, alhamdulillah. Kadang ada yang jenis tak ambil peduli pun, hanya menunggu proses pembahagian selesai dan ambil haknya saja. Macam-macam.
Apapun, perlunya 𝗛𝗜𝗕𝗔𝗛 buat waris yang kita tinggalkan dan persetujuan bersama, 𝗠𝗨𝗔𝗙𝗔𝗞𝗔𝗧 menjadi tunjang asas dalam setiap penyelesaian.Tak kaya pun takpa la janji 𝗛𝗜𝗕𝗔𝗛 ada.