28/07/2025
SAYA DAN TAKAFUL
Pertama kali saya membuat keputusan untuk berhenti kerja di sebuah syarikat insurans terbesar di Malaysia ketika itu adalah kerana anak-anak; ingin menjaga & mendidik anak-anak sendiri.
Kesilapan saya ketika itu, keputusan dibuat tanpa perincian perancangan masa depan yang jelas. Hanya mengambilkira simpanan kelangsungan hidup untuk 6 bulan, tanpa perancangan sandaran pendapatan masa depan, malah terlupa tentang komitmen kewangan yang sangat besar di bahu yang wajib dilunaskan.
Akibatnya, saya terjerlus di dalam paya krisis kewangan yang agak dalam. Tercungap-cungap mendaki untuk naik semula. Pelbagai jenis perniagaan saya ceburi, semuanya tak menjadi dan modal habis begitu sahaja.
Hutang kini menggunung, tak sanggup menghitung sehingga deringan telefon bertukar menjadi satu TRAUMA untuk didengari. Sesak nafas, merana jiwa tiada siapa yang mengerti bahkan mulut yang mengasihani, mulut yang sama juga mengeji. Dengan manusia saya dah patah hati, maka mula sedar diri sebagai abdi. Mula dekatkan kembali diri dengan Rabbul ‘Izzati. Tak henti tangis taubat dan puji mohon petunjuk Allah jalan yang mana harus diikuti.
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” [At-Taghabun:11]
Di suatu hening subuh, hati terdetik untuk menjadi ejen takaful. Hajat diluahkan kepada sang suami. Dia yang mengenali sosok si isteri bertanya menguji,” Boleh ke sayang? Sayang ni pendiam, tambahan lagi penyegan. Kerja ini perlu jumpa orang”. Dengan separuh hati, isteri menjawab,” tak cuba kita tak tahu. Tak buat ni nak buat apa lagi? Nak cari kerja, syarikat mana nak ambil orang yang sarat mengandung. Nak niaga lain kita dah kehabisan modal. Bukan kata untuk modal, nak makan hari ni pun tak pasti lagi. Abang bagi ummi masa 6 bulan, kalau tak okay nanti ummi cari kerja lain yang sebati”. Dengan berat hati, suami mengizinkan.
Dengan lafaz ‘bismillah’, saya hubungi Kuala Lumpur Branch di Wisma Sime Darby, minta nama seorang ‘leader’ untuk saya hubungi dan dapatkan bimbingan. Berjalan kaki dari Sentul ke Sunway Batu Caves, kemudian naik bas ke Jalan Dungun untuk daftar dan duduki Peperiksaan. Alhamdulillah…lulus. April, 2008 saya berkontrak sebagai ejen, maka bermulalah perjalanan saya melakar Pelangi – Aku Ejen Takaful.
Matlamat utama saya pada masa itu ialah UNTUK BEBAS HUTANG JAHAT. Satu harapan nak besarkan pendapatan untuk bayar hutang. Alhamdulillah, harapan terkabul dengan izin Allah, melaluinya banyak impian yang terlaksana secara tak langsung.
Kini, setelah belasan tahun berkecimpung dalam arena, pandangan saya terhadap kerjaya ini sudah berbeza. Jalan ini adalah jalan dakwah, laluan ini adalah laluan sunnah. Inilah jalan tarbiyyah yang membentuk ketinggian tawakkal, sabar & syukur insaniah. Inilah lubuk ukhuwwah, memberi makna kepada hidup dengan menabur bakti kepada ummah. Darinya, mudahan ada sungai yang mengalir, ada lampu yang menyuluh di alam sana.
"Sekiranya kamu berbuat baik, sesungguhnya kamu berbuat baik untuk diri kamu sendiri." (Surah Al-Isra’:7)