14/03/2026
Bayangkan perkara ini berlaku kepada anda.
Kepada keluarga anda.
Kepada isteri anda.
Kisah ini dikongsikan oleh Tuan Wan Kamaruddin, bekas pengacara Edisi Siasat NTV7.
Seorang balu cuba membuat tuntutan KWSP milik arwah suaminya yang baru meninggal dunia.
Tetapi tuntutan itu gagal.
Sebab penama KWSP bukan isterinya…
Sebaliknya ibu arwah suami.
Lebih menyedihkan, si ibu menganggap wang itu miliknya sepenuhnya.
Di sinilah bermulanya konflik.
Apa pengajaran daripada kisah ini?
1. Semak dan kemaskini penama KWSP
Ramai orang buat penamaan KWSP ketika mula bekerja.
Masa itu masih bujang, jadi letak nama ibu.
Masalahnya…
Selepas berkahwin dan mempunyai anak, maklumat itu tidak pernah dikemaskini.
Lebih parah jika penama sudah meninggal dunia…
atau penama ialah bekas kekasih lama.
Bayangkan seorang balu membuat tuntutan KWSP arwah suami,
tiba-tiba penama ialah “crush” suami 20–30 tahun lepas.
Memang haru.
2. Bukan KWSP sahaja
Banyak aset lain juga boleh ada penama seperti:
• Takaful
• ASB
• Tabung Haji
• Koperasi
• Sesetengah unit trust
Penamaan ini membantu memudahkan proses pengurusan harta selepas kematian.
Namun ada juga aset yang tidak boleh diletakkan penama secara mudah, dan perlu diurus melalui wasiat atau perancangan pusaka.
3. Pilih penama yang matang dan boleh dipercayai
Penama perlu ada kemampuan untuk menguruskan harta selepas ketiadaan kita.
Elakkan melantik anak yang masih bawah umur sebagai penama kerana ia boleh menimbulkan masalah di kemudian hari.
Salah satu cara yang lebih selamat ialah melantik syarikat pemegang amanah (trustee).
4. Fahamkan fungsi sebenar penama
Ramai orang salah faham.
Penama bukan pemilik harta.
Mereka hanyalah pemegang amanah yang bertanggungjawab:
• melangsaikan hutang si mati
• menguruskan harta pusaka
• memastikan ia dibahagikan mengikut faraid
Jika perkara ini tidak difahami, konflik keluarga mudah berlaku.
5. Rancang pusaka ketika masih hidup
Perancangan pusaka bukan sekadar menulis wasiat.
Ia termasuk:
• merancang pembayaran hutang
• memastikan waris tidak terbeban
• mengurus pembahagian harta dengan jelas
• merancang sedekah atau wakaf
Tanpa perancangan yang betul, harta boleh menjadi punca pergaduhan selepas kita meninggal dunia.
Kadang-kadang masalah bukan kerana tiada harta.
Tetapi kerana tiada perancangan ketika masih hidup.
Dan akhirnya…
yang menanggung akibat ialah keluarga yang kita tinggalkan.
-IQ