10/12/2025
Berapa semua kos rawatan? Bila akak dapat tahu akak ada thyroid cancer pada November tahun lepas… jujur, hati ni luluh. Rasa dunia berhenti sekejap.
Tapi akak cepat-cepat ingatkan diri —
menangis boleh, tapi jangan lama.
Kita kena bangun, cari jalan untuk sembuh.
Terus akak jumpa doktor ENT ( Dr Rohaizam ) & doktor endocrine ( Dr Saladina ) di Pantai Hospital Bangsar. Terus tetapkan tarikh untuk surgery Thyroidectomy (buang seluruh thyroid) dan buang lymphnodes berdekatan sebab hasil biopsy tunjukkan kanser dah mula merebak.
Dan masa tu… satu perkara paling besar yang buat akak lega:
Akak tak perlu risau tentang kos rawatan.
Tak perlu korek tabung sendiri…
Tak perlu buat loan…
Tak perlu susahkan keluarga atau kawan-kawan…
Semuanya ditanggung oleh insurans.
Alhamdulillah.
⸻
Kenapa insurans boleh cover semuanya?
Seawal umur 21 tahun, akak dah ambil insurans. Semakin meningkat usia, akak tambah polisi @ upgrade —sebab ada polisi yang cover penyakit2 tertentu, ada yang tak. Benefit dari insurance pun banyak berubah ikut masa.
Selain medical card, selepas arwah suami meninggal, akak naikkan life insurance. Semuanya untuk satu sebab:
Kalau apa-apa jadi pada akak, Sarra tak perlu susah. Masa depan dia terjamin insyallah.
Tak perlu tanggung beban kewangan.
Tak perlu pinjam sana sini untuk rawatan mak dia.
Itu tanggungjawab seorang ibu.
⸻
Kos rawatan sebenar yang insurans tanggung
• Surgery pertama (13/12/2024) – hampir RM65,000
• Rawatan Radioactive Iodine (RAI) Mac 2025 – hampir RM25,000
(Pil iodine dia saja lebih RM7,000)
• 4 bulan follow up – masih ditanggung insurans
• Surgery kedua (8/8/2025) – lebih kurang RM31,000 ++
• RAI kali kedua (Oktober 2025) – lebih RM22,000
Total keseluruhan rawatan (tidak termasuk follow-up): hampir RM144,000 ++
Dan akak tak keluar duit utk rawatan di atas walau satu sen pun. Semuanya cover by AIA.
Bayangkan kalau kita tak ada insurans…takde duit simpanan. Kelam kabut nak cari RM144,000 dalam keadaan diri tengah sakit dan fikiran tengah berserabut.
⸻
Siapa sangka?
Kita takkan tahu bila sakit akan datang.
Kita takkan tahu bila ujian tiba.
Semua ini qada’ dan qadar.
Yang kita boleh buat hanya satu —
berusaha melindungi diri, protect family kita selagi boleh.
Bukan sebab tak redha…apa yang berlaku semua Allah dah tentukan.
Tapi sebab kita nak ikhtiar sebaik mungkin.
Doa, usaha, ikhtiar & tawakkal.
⸻
Hospital kerajaan bagus, sangat bagus.
HKL pun antara top 5 hospital terbaik di Malaysia.
Tapi kanser bukan penyakit yang boleh tunggu giliran. Lambat rawat, dia boleh merebak ke organ lain.
Bila ada pilihan untuk rawatan cepat, siapa tak nak?
Kita ikhtiar… kerana ajal maut Allah tentukan, tapi usaha itu tetap wajib.
⸻
Kenapa ramai tak nak ambil insurans?
Sebab rasa diri sihat.
Sebab rasa rugi bayar tiap bulan.
Sebab “tak pernah claim pun”.
Syukur kalau kita sihat. Betul.
Tapi takkan kita nak berharap datang sakit semata-mata nak rasa “berbaloi”?
Insurans bukan tentang rugi atau untung.
Insurans tentang perlindungan saat kita paling lemah.
⸻
Pesanan untuk anak-anak muda
Akak sedih tengok ramai sanggup:
✔ Berhutang beli iPhone
✔ Makan mewah tiap minggu
❌ Tapi tak sanggup spend RM100–RM200 untuk insurans diri sendiri
Sedangkan kita kerja penat siang malam.
Tak salah kalau kita lindungi diri sendiri.
Yang paling penting —
kita tak susahkan mak ayah dan adik-beradik bila diuji dengan masalah kesihatan. Kita hanya fokus pada rawatan dan berserah pada Allah swt.
⸻
Kesimpulan akak;
“Sediakan payung sebelum hujan.”
Kita tak tahu bila Allah uji.
Tapi bila kita sudah bersedia,
Allah permudahkan banyak perkara:
• Kita ada pilihan
• Kita dapat rawatan terbaik
• Kita tak bebankan sesiapa
• Kita fokus untuk sembuh
• Dan kita jaga masa depan orang yang kita sayang
Semua ini berlaku dengan izin Allah.
Usaha kita kecil…Tapi kesannya besar untuk hidup kita.
Perjalanan akak jauh lagi. Doakan akak utk sembuh sepenuhnya Insyallah.🤲🏻❤️
Btw akak tak jual insurance.
Getting insurance is our responsibility to our family & loved ones. We may hate it, but it’s still our responsibility.
❤️
Amiza Amiruddin
Credit pemilik post Puan Amiza Amiruddin