14/03/2023
6 Oktober 2021 - Pokok Asam Gelugur (Garcinia atroviridis) atau lebih dikenali ramai sebagai asam keping, ialah sejenis pokok yang mempunyai silara berbentuk kon mencapai ketinggian 30 m.
Pokok ini mempunyai taburan habitat di India, Myanmar, Thailand, Semenanjung Malaysia dan Singapura. Di Semenanjung Malaysia, ia tumbuh meliar di hutan tanah pamah hingga berbukit pada altitud hingga 600 m.
Pokok ini juga banyak ditanam di pekarangan rumah khususnya oleh masyarakat Melayu.
Bahagian pucuk, daun dan buah Pokok Asam Gelugur mempunyai khasiat ubatan dan telah diamalkan secara tradisi oleh masyarakat Melayu dan Orang Asli.
Pucuknya yang berwarna perang kemerahan pop**ar dijadikan ulaman dan sedap dimakan begitu sahaja atau dicicah dengan sambal belacan. Pucuknya mempunyai rasa masam-masam lemak digemari ramai. Amalan memakan ulam pucuk berupaya mengawal tekanan darah tinggi dan aras glukosa dalam darah.
Daunnya p**a digunakan secara tradisi sebagai pelapik tungku dan untuk barut perut bagi kegunaan ibu selepas bersalin. Air rebusan daun diminum oleh masyarakat Orang Asli bagi merawat lelah dan melegakan batuk kering. Selain diminum, air rebusan daun turut boleh dijadikan mandian untuk meredakan demam dan demam kuning (bayi) dan melegakan kegatalan.
Air rendaman buah digunakan oleh masyarakat Orang Asli Semai untuk dilumurkan pada kepala bagi merawat kelemumur. Air rebusan atau rendaman asam keping (hirisan buah yang dikeringkan) diamalkan bagi membantu mengawal tekanan darah tinggi.
Pes buah yang segar atau kering p**a boleh digunakan sebagai penawar gigitan serangga berbisa dengan menempel pes pada bekas gigitan.
Selain dijadikan ubatan, kedua-dua pucuk dan asam keping yang mempunyai rasa masam pop**ar digunakan dalam masakan atau pengganti asam jawa. Antara masakan tradisional masyarakat Melayu di Negeri Sembilan yang menggunakan pucuk ialah masak lemak telur itik bersama-sama hirisan pucuk asam gelugur.
Asam keping juga banyak digunakan dalam masakan seperti asam pedas, kari dan laksa. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pokok ini, klik pada infografik di bawah.
Info: Tan Ai Lee
Kredit foto: Pasukan Teknikal Buku Ulaman dan Herba Masakan di FRIM
Rujukan:
1.Tan Ai Lee, Ummu Hani Badron, Madihah Muhammad Nawi, Fadzureena Jamaludin & Norbaiah Mat Yaacob. 2020. Ulaman & Herba Masakan di FRIM: Amalan Tradisi & Khasiat Ubatan. Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Selangor. Pp. 8–11.
2.Madihah Muhammad Nawi, Tan Ai Lee, Intan Nurulhani Baharuddin, Amizan Nazri, Dionysia Modingin, Fadzureena Jamaludin, Abdul Hayat Mat Saad, Amelia Bah Azmi & Nurul Husna Zaidi. 2019. Meneroka Rahsia Rimba Warisan Orang Asli Semenanjung Malaysia Jilid 1. Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Selangor. Pp. 131–133.
3.Nik Musa’adah Mustapha, Nik Zanariah Nik Mahmood, Nor Azah Mohamad Ali & Norini Haron (eds.). 2017. Khazanah Perubatan Melayu: Tumbuhan Ubatan Jilid 2. Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Selangor. Pp. 20–25.