15/10/2020
WARMING THE SOUL 2020
ISMA UK-EIRE - Menyambut Hari Mental Sedunia Dengan Saling Menjaga Kebajikan Antara Kita
Dublin, 10 Oktober 2020 - Biro Luar Negara (BLN) ISMA cawangan Ireland telah menganjurkan aktiviti ‘Warming The Soul’ yang merupakan aktiviti tahunan yang dijalankan oleh BLN ISMA di serata Eropah.
Aktiviti ini bertujuan untuk memupuk sikap kepekaan terhadap keperluan dan kehidupan masyarakat sekeliling dan menyemai sikap suka bersedekah seperti yang digalakkan oleh Rasulullah S.A.W.
“Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).” (Al-Baqarah: 215).
Seramai 12 orang sukarelawan pelajar Malaysia di Dublin telah menyertai program ini. Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil bagi memastikan garis panduan COVID-19 yang ditetapkan oleh Kerajaan Ireland sentiasa dipatuhi. Pihak penganjur juga memastikan pemakaian pelitup muka sepanjang masa, pemakaian hand sanitiser dan juga penjarakan sosial sentiasa dijaga.
Bagi menjadikan aktiviti ini lebih menarik, para peserta diberikan beberapa misi untuk diselesaikan seperti “Ice Breaking”, “Exchange Wisdom Card”, “Fill The Bag Up to 5 Euro”, “Feeding the Homeless” dan “Feedback and Reflection”. Proses pembelian dan pembungkusan makanan dan minuman dilakukan mengikut kumpulan masing-masing. Setiap kumpulan mengagihkan makanan diserata bandar Dublin mengikut kawasan yang telah ditetapkan.
Para sukarelawan berasa insaf dan gembira kerana dapat menolong meringankan beban golongan yang memerlukan. Mereka juga berasa lebih empati terhadap golongan gelandangan di samping meningkatkan rasa syukur dalam diri mereka.