21/08/2023
'Abang buat pelbagai persediaan seolah-olah tahu akan dijemput Ilahi'
Noorazura Abdul Rahman
[email protected]
August 20, 2023 @ 7:35pm
'Abang buat pelbagai persediaan seolah-olah tahu akan dijemput Ilahi'
Keluarga, saudara dan rakan Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh pada majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Masjid Al Huda Kampung Jerong, semalam. NSTP/ Syaharim Abidin
SUNGAI PETANI: Keluarga mangsa nahas pesawat sebak apabila dimaklumkan Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh membuat pelbagai persediaan seolah-olah sudah tahu akan meninggal dunia.
Adik Allahyarham, iaitu Noorhidayah, 30, berkata dua minggu sebelum kejadian nahas pesawat itu, abangnya pergi ke syarikat takaful dan insurans untuk membuat hibah atas nama kedua-dua ibu bapa mereka.
"Segala-galanya dia buat atas nama mak ayah dan terlalu banyak dia tinggalkan untuk kami sekeluarga, sebelum ini pun dia pernah cakap kalau boleh tak mahu mak ayah berniaga roti canai dan nasi lemak lagi.
"Dia bekerja keras untuk mak ayah, dia juga selalu bantu kami adik beradik, sepanjang hidup dia, dia s**a menyenangkan mak ayah, dia kata biar dia susah tak apa, dia tak mahu kami susah," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Noorhidayah berkata, abangnya juga sudah mengemas barangnya di rumah sewa termasuk memaklumkan kepada rakan serumah tempat simpanan barang penting miliknya.
"Segala-galanya Allah mempermudahkan untuk abang, rakan arwah sudah boleh bawa semua barang-barangnya ke rumah kami dengan mudah termasuk kereta miliknya.
"Malah urusan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) milik abang pun sudah selesai, insurans untuk Food Panda pun sudah hubungi kami," katanya yang turut memberitahu menerima kunjungan yang tidak henti-henti sejak semalam.
Bagi Noorhidayah, segala kebaikan yang dilakukan abangnya diketahui satu demi satu selepas kematiannya.
"Mak cerita abang s**a bantu orang susah terutama waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu, dia akan sedaya upaya bantu walaupun orang itu dia tak kenal, kalau dia tak mampu dari segi wang ringgit, dia akan bantu dengan kudratnya.
"Saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan abang yang banyak bantu mudahkan urusan kami, kisah abang ini diharap akan jadi pedoman untuk semua kerana setiap amalan yang baik sesama manusia pasti ada ganjaran daripada Allah," katanya.
Selain itu Noorhidayah berkata, kenduri kahwinnya Sabtu depan akan tetap diteruskan dengan turut diadakan majlis tahlil
Katanya, keputusan meneruskan majlis perkahwinan itu dibuat ayahnya selepas mengambil kira pelbagai persiapan sudah dibuat sebelum ini.
"Saya sudah bincang dengan keluarga pagi tadi, ayah cakap majlis tetap akan diteruskan... yang pergi tetap pergi, yang hidup kena teruskan, mungkin buat kenduri bersama tahlil untuk abang sekali," katanya.
Jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz, 32, yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Khamis lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Huda Kampung Jerong, di sini, kira-kira jam 3.45 petang semalam.
Penghantar makanan itu adalah jenazah pertama yang sah dikenal pasti identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, Khamis lalu mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai di Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Muhamad Hafiz yang juga anak sulung daripada lima beradik adalah pekerja p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut dalam nahas terbabit.